KEUNIKAN bandar Taiping yang sarat dengan sejarah bakal sekali lagi menjadi tumpuan apabila Heritage Ride Taiping 2026 kembali dianjurkan pada 25 Oktober depan dengan sasaran penyertaan seramai 2,000 peserta.
Program anjuran Kelab Berbasikal Elit dengan kerjasama Gosportz Sdn. Bhd. itu bukan hanya menghidangkan cabaran kepada kaki kayuh, malah membuka ruang kepada peserta mengenali sendiri lokasi-lokasi bersejarah yang menjadi kebanggaan bandar berkenaan.
Acara yang akan bermula pada jam 7 pagi di Dataran Warisan Taiping itu menawarkan tiga kategori iaitu perlumbaan 90 kilometer (km), 60km dan Kayuhan Santai sejauh 20km bagi memenuhi penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Peserta akan melalui laluan di Sepetang, Simpang Empat dan Kamunting yang menampilkan gabungan keindahan alam semula jadi, perkampungan tradisional serta kawasan bersejarah yang mencorakkan identiti Taiping.
Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh berkata, penganjuran Heritage Ride menjadi antara usaha memperkenalkan keistimewaan bandar warisan itu kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
Katanya, Taiping sememangnya mempunyai sejarah tersendiri apabila dikenali sebagai 'Bandar Pelbagai Yang Pertama' di negara ini dengan pelbagai pencapaian penting termasuk bandar terancang pertama, taman awam pertama dan landasan kereta api pertama di Malaysia.
"Kayuhan Warisan memberi peluang unik kepada peserta untuk menghayati legasi Taiping sambil menggalakkan gaya hidup sihat serta menyokong ekonomi pelancongan tempatan," katanya selepas majlis memperkenalkan penaja dan merasmikan edisi ketiga Heritage Ride Taiping di Petaling Jaya pada Khamis.
Beliau berkata, sambutan terhadap acara itu amat menggalakkan apabila lebih separuh daripada kuota penyertaan telah dipenuhi walaupun pendaftaran masih dibuka.
Dalam pada itu, penganjur turut menyediakan 1,000 tiket masuk percuma ke Zoo Taiping kepada peserta berdaftar menerusi kerjasama strategik yang dijalinkan, namun semua tiket berkenaan telah habis ditebus sejurus pendaftaran dibuka.
Bagi menggalakkan penyertaan golongan muda, pelajar berumur tujuh hingga 17 tahun terus menikmati pendaftaran percuma hasil sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Selain perlumbaan, orang ramai yang hadir turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti komuniti di Dataran Warisan Taiping termasuk persembahan pentas, reruai pameran, trak makanan dan cabutan bertuah.
Setiap peserta akan menerima kemeja-T rasmi, pingat penamat, beg cenderamata serta sijil digital, manakala lima pemenang terbaik bagi kategori 90km dan 60km bakal membawa pulang hadiah wang tunai serta trofi.
Pendaftaran akan ditutup pada 23 Ogos ini atau lebih awal sekiranya kuota 2,000 peserta berjaya dipenuhi.




