hamden07/08/2026 - 09:23 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Ogos - Hextar Global Bhd melantik Datuk Ong Chong Yi sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif syarikat berkuat kuasa 6 Ogos 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan agrokimia itu berkata, Chong Yi, 47, sebelum ini berkhidmat sebagai pengarah bebas bukan eksekutif.
Beliau kini turut mempengerusikan Jawatankuasa Penamaan dan Imbuhan Hextar Global serta menganggotai Jawatankuasa Audit dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko.
Hextar Global merupakan antara penyedia penyelesaian pengurusan tanaman terbesar di negara ini dengan menguasai lebih 30% bahagian pasaran racun perosak Malaysia.
Kumpulan itu menjalankan operasi menerusi tiga segmen perniagaan utama iaitu pertanian, bahan kimia khusus dan buah-buahan, selain mempunyai rangkaian pengedaran yang meliputi lebih 30 negara.
Dalam pada itu, Hextar Global turut memperkukuh strategi pengembangan perniagaan baja menerusi cadangan mengambil alih PK Fert Sdn. Bhd. dan Hextar Fert Sdn. Bhd. pada harga RM54.5 juta daripada syarikat bersekutunya, Hextar Industries Bhd., yang dimiliki sebanyak 52.4%.
Cadangan urus niaga pihak berkaitan yang disemak semula itu adalah lebih kecil berbanding cadangan asal bernilai RM120 juta yang melibatkan tiga syarikat.
Pengambilalihan berkenaan dijangka dimuktamadkan pada separuh kedua tahun 2026 dan dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Hextar Global dalam segmen baja, sekali gus melengkapkan portfolio perniagaan agrokimianya. - DagangNews.com





