sarah08/10/2026 - 17:24 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Okt - Hi Mobility Bhd menerima surat hasrat (LOI) daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berhubung cadangan pelantikan anak syarikat milik penuhnya, Handal Indah Sdn Bhd (HISB).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Hi Mobility berkata HISB dicadang sebagai pengendali rangkaian di bawah program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) di Johor Bahru bagi tempoh 1 Januari 2027 hingga 31 Mac 2031.
Bagaimanapun, cadangan itu masih tertakluk kepada rundingan lanjut serta persetujuan muktamad mengenai skop perkhidmatan, terma dan nilai kontrak sebelum Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan.
Menurut syarikat, LOI berkenaan bersifat tidak mengikat, kecuali beberapa peruntukan berkaitan kerahsiaan, publisiti, undang-undang dan klausa lazim lain.
Sebarang pengaturan komersial yang mengikat hanya akan berkuat kuasa selepas rundingan selesai dan SST atau perjanjian muktamad dimeterai antara HISB dan APAD.
Hi Mobility berkata, cadangan pelantikan itu memberi peluang kepada HISB meneruskan penglibatan dalam program SBST di Johor Bahru, selaras dengan kepakaran terasnya dalam mobiliti pintar.
HISB akan menggabungkan keupayaan integrasi teknologi, pengurusan armada dan operasi bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih cekap dan boleh dipercayai.
Sementara itu, Hi Mobility tidak menjangka LOI tersebut memberi kesan kewangan atau operasi material pada peringkat ini, termasuk terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan gearing bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027, sehingga SST dan/atau perjanjian muktamad dimeterai.- DagangNews.com



