Prestasi HI Mobility dijangka lebih baik pada 2H27 disokong penyerahan 250 bas elektrik - Penganalisis

Business & Finance
30 Sep 2026 • 12:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prestasi HI Mobility dijangka lebih baik pada 2H27 disokong penyerahan 250 bas elektrik - Penganalisis Image from: Prestasi HI Mobility dijangka lebih baik pada 2H27 disokong penyerahan 250 bas elektrik - Penganalisis liza30/09/2026 - 12:05 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Sept – HI Mobility Berhad dijangka mencatat prestasi lebih baik pada separuh kedua tahun kewangan 2027 (2H FY27) disokong permintaan perjalanan yang lebih tinggi serta peningkatan kapasiti operasi bas, kata penganalisis.

 

Dua firma penyelidikan iaitu CIMB Securities Sdn Bhd dan JF Apex Securities Research juga berpandangan momentum operasi kumpulan akan kekal positif memasuki separuh kedua tahun kewangan tersebut.

 

Kedua-dua firma turut melihat RM211 juta tempahan yang belum dibilkan setakat akhir Julai 2026 sebagai memberikan keterlihatan terhadap pendapatan akan datang.

 

Selain perkhidmatan bas berjadual, pengembangan perniagaan kenderaan komersial turut menjadi sumber pertumbuhan HI Mobility, susulan peningkatan aktiviti pemasangan dan pengedaran kenderaan.

 

Pada masa sama, kedua-dua firma melihat peluang pertumbuhan melalui Program Transformasi Perkhidmatan Bas Peringkat Negeri (SBST) dan perkhidmatan bas pengantara ke Sistem Transit Aliran Johor-Singapura (RTS), walaupun sebahagian penumpang bas mungkin beralih kepada perkhidmatan kereta api itu selepas ia beroperasi.

 

250 bas elektrik, penumpang rentas sempadan jadi pemacu

CIMB Securities berkata pendapatan HI Mobility dijangka kekal kukuh pada 2H FY27, disokong penghantaran kenderaan komersial yang lebih tinggi serta peningkatan penumpang bas rentas sempadan ketika musim cuti Malaysia dan Singapura.

 

Firma itu berkata HI Mobility berada pada landasan untuk menghantar 250 bas elektrik dalam tempoh sembilan bulan akan datang di bawah program pemodenan bas sebuah pengendali nasional bagi mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik.

 

Bagi 2Q FY27, keuntungan bersih teras HI Mobility meningkat 8.7% suku ke suku kepada RM19 juta, manakala hasil meningkat 7% kepada RM119.3 juta, didorong peningkatan 8.3% dalam hasil perkhidmatan bas berjadual susulan pemulihan penumpang rentas sempadan.

 

Jumlah penumpang rentas sempadan meningkat 17.7% kepada enam juta pada suku berkenaan, manakala perkhidmatan lorong kontra membantu mengurangkan kesesakan di Tambak Johor dan meningkatkan kekerapan perjalanan bas.

 

CIMB Securities mengekalkan saranan ‘Beli’ dengan harga sasaran RM2.80, selain melihat kedudukan HI Mobility di Johor dan penglibatannya dalam BAS Muafakat Johor sebagai faktor yang boleh menyokong peluang mendapatkan kontrak SBST yang diperluaskan.

 

JF Apex kekal positif, tetapi semak turun unjuran

Sementara itu, JF Apex Securities Research menganggap keputusan 2QFY27 HI Mobility selari dengan jangkaannya selepas mengambil kira keuntungan pertukaran asing belum direalisasikan sebanyak RM535,000 dengan keuntungan bersih teras berjumlah RM16.6 juta.

 

Firma itu menjangkakan 2HFY27 lebih baik berikutan permintaan perjalanan bermusim yang lebih tinggi serta peningkatan kapasiti bas domestik.

 

Dari segi operasi, hasil perkhidmatan bas berjadual meningkat 4.6% tahun ke tahun, disokong sumbangan SBST dan jumlah penumpang domestik serta rentas sempadan yang berdaya tahan, manakala hasil pemasangan dan pengedaran kenderaan meningkat 30.5% kepada RM61.9 juta.

 

JF Apex turut melihat subsidi diesel RM1.88 seliter bagi bas awam sebagai faktor yang mengurangkan pendedahan HI Mobility terhadap turun naik harga diesel, selain peluang perkhidmatan pengangkutan berkaitan RTS Link.

 

Bagaimanapun, firma itu menyemak turun anggaran keuntungan bersih teras FY27, FY28 dan FY29 masing-masing sebanyak 1.8%, 5.1% dan 3.6% kepada RM71.2 juta, RM90.9 juta dan RM114.9 juta. 

 

JF Apex mengekalkan saranan Beli tetapi menurunkan harga sasaran kepada RM2.38 daripada RM2.62 berdasarkan gandaan 14 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY28. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved