GEORGE TOWN - Misteri kehilangan seorang lelaki sejak hampir seminggu lalu terjawab apabila dia ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Sungai Dua, Gelugor, di sini hari ini.
Mayat lelaki berusia 37 tahun itu ditemukan dalam keadaan berbau di dalam MPV jenis Perodua Alza oleh orang awam kira-kira jam 1 tengah hari.
Mangsa dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.
Isteri mangsa yang enggan dikenali berkata, suaminya yang menghidap penyakit diabetes itu keluar dari rumah pada Rabu lalu untuk ke Kuala Lumpur atas urusan kerja dan dijadualkan pulang pada Sabtu.
**media[3535283]**
“Semasa dalam perjalanan, dia ada memaklumkan perlu ke pejabatnya di Bayan Baru sebelum saya gagal menghubunginya kira-kira jam 11 malam,” katanya.
Beliau berkata, satu laporan polis dibuat pada Sabtu lalu selepas suaminya gagal dihubungi sebelum dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada 11.47 pagi.
Beliau berkata mangsa yang berasal dari Ayer Itam itu, ditemukan dalam keadaan berpakaian kemas dan berbaring di tempat duduk pemandu kereta milik isterinya, yang dikunci dari dalam.
"Hasil siasatan pada badan mangsa dan kawasan sekitar mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Lee berkata polis menganggarkan mangsa telah meninggal dunia kira-kira lima hari sebelum ditemukan.
Beliau berkata mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat, dengan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu Laporan Mati Mengejut telah dibuka untuk siasatan lanjut. - Bernama





