SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, mendakwa tindakan Speaker Dewan Negeri (DUN) Selangor menggantungnya selama dua hari daripada sidang dewan mencerminkan ‘demokrasi mati’ di negeri itu.
Menurutnya, keputusan dibuat oleh Speaker, Lau Weng San, berkuat kuasa serta-merta bermula pada Selasa selepas beliau mempertikai tindakan tidak membenarkannya mengemukakan soalan tambahan.
Muhammad Hilman berkata, soalan lisannya sebelum itu menyentuh isu sumber tenaga boleh diperbaharui yang dianggap penting untuk dibahaskan ketika dunia berdepan krisis tenaga global.
"Saya dihukum kerana mempertikai keputusan Speaker yang tidak membenarkan saya mengajukan soalan tambahan selepas soalan lisan dijawab oleh Exco Kerajaan Negeri.
"Saya amat kesal dengan sikap ala ‘diktator’ Speaker yang menghalang saya dan beberapa ADUN lain untuk bercakap demi kepentingan rakyat Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau menegaskan, isu sumber tenaga boleh diperbaharui bukan bersifat politik, sebaliknya penting dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga fosil serta menjamin kemajuan negeri.
Katanya, DUN Selangor seharusnya menjadi lambang keunggulan demokrasi, namun tindakan menghalang wakil rakyat bersuara menimbulkan persoalan terhadap kebebasan berbahas.
"Jika wakil rakyat yang diberi mandat oleh rakyat pun dihalang daripada berbahas, maka ia tanda demokrasi mati di Selangor," tambah beliau.
Terdahulu, Muhammad Hilman diarah keluar daripada Persidangan DUN Selangor dan digantung selama dua hari bermula pada Selasa selepas mengingkari arahan Weng San.
Weng San mengeluarkan arahan itu apabila Muhammad Hilman tidak menghiraukan arahannya untuk duduk selepas Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaludin selesai menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan beliau berhubung potensi pendapatan baharu negeri melalui sumber tenaga boleh diperbaharui.






