KUALA NERUS – Pekarangan Kompleks Sukan Negeri di sini menjadi tumpuan ribuan pengunjung sempena penganjuran Himpunan Alam Melayu yang berlangsung pada Jumaat.
Acara yang bermula jam 2.30 petang itu diadakan sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah, bertujuan menghimpunkan tokoh dan pejuang seni budaya dari seluruh pelosok Nusantara dengan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung.
Menurut Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd Nor Hamzah, penganjuran acara itu dilihat sebagai platform penting dalam mendekatkan masyarakat kepada akar sejarah serta warisan tamadun Islam yang menjadi asas pembentukan jati diri ummah.
Mohd Nor berkata, program seumpama itu bukan sekadar bersifat nostalgia, sebaliknya berperanan membimbing generasi masa kini memahami asas budaya dan nilai yang membentuk masyarakat Melayu-Islam.
Menurutnya, tema ‘Satu Ummah’ yang diketengahkan dalam karnival berkenaan amat bertepatan dengan cabaran semasa yang menyaksikan perbezaan mudah menjadi punca perpecahan jika tidak diurus dengan baik.
**media[3480854]**
“Tema yang kita angkat pada hari ini terasa dekat dengan keadaan semasa. Kita hidup dalam zaman yang mencabar di mana sebarang bentuk perbezaan begitu mudah menjadi jurang yang dalam dan sebuah kesatuan sering diuji oleh kepentingan yang pelbagai.
“Justeru, seruan untuk kembali kepada kesatuan sebenarnya bukanlah satu slogan yang retorik, bahkan ia satu keperluan bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Jelas beliau, alam Melayu mewarisi satu tradisi panjang yang membentuk cara masyarakat berfikir, berbahasa dan bernegara.
“Apabila Islam datang, ia tidak memadamkan warisan ini, bahkan menyusunnya dengan nilai dan adab yang lebih tinggi. Dari situlah lahirnya jati diri Melayu-Islam yang sederhana, seimbang dan berakar umbi.
“Tanggungjawab kita hari ini adalah untuk memastikan jati diri ini terus hidup, bukan sekadar dalam bentuk nostalgia, namun sebagai asas yang membimbing generasi akan datang menghadapi dunia yang jauh lebih kompleks serta mencabar,” katanya.
Himpunan itu menampilkan barisan tokoh dari pelbagai negara antaranya Nik Mansour Nik Abdul Halim (Vietnam), Muhammad Aladee Zakariya (Pattani), Profesor Dr Ahmad Omar Japakia (Pattani), Datuk Kiam Radja Tuan Guru Profesor Dr. Fekry Juliansyah (Aceh), serta Profesor Dr Syed Khairuddin Al Junaid (Singapura).
**media[3480855]**
Turut memantapkan barisan kepimpinan tempatan ialah Profesor Dr Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Wan Hizhan Wan Jusoh (Ayah Mad Dungun), serta bekas juara silat negara, Ruzaldi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Wak Ruzaldi.
Menariknya, sepanjang sesi pidato berkenaan, kesemua ahli panel menyampaikan ucapan menggunakan bahasa Melayu.
Pelbagai pengisian padat telah diatur bagi menyemarakkan lagi semangat jati diri Melayu, antaranya persembahan seni silat Alam Melayu yang mempamerkan ketangkasan dan estetika seni mempertahankan diri warisan berzaman; pidato wakil luar negara yang berkongsi aspirasi dan pemikiran tokoh Nusantara; persembahan silat khas oleh pakar-pakar ternama; serta pameran khazanah orang Melayu yang memaparkan keunikan barangan sejarah dan budaya bangsa.
Pihak penganjur turut menetapkan busana Melayu sebagai tema pakaian rasmi bagi memastikan suasana majlis gilang-gemilang itu tampak tradisi dan penuh beradab.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan suasana, sekali gus memberi sokongan terhadap usaha memartabatkan khazanah dan penyatuan ummah di peringkat antarabangsa.
