Jati diri Melayu-Islam pengukuh benteng perpecahan ummah

LocalPolitics
2 Apr 2026 • 4:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Nor (kanan) ketika menyempurnakan perasmian Majlis Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 1447H/2026M di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus pada Khamis.

​KUALA NERUS - Jati diri Melayu-Islam perlu diperkukuh bagi mendepani cabaran zaman yang kini dilihat semakin mudah terdedah kepada jurang perpecahan.

​Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, dalam dunia yang semakin kompleks, perbezaan pandangan sering kali dijadikan punca keretakan sekiranya tidak diurus dengan bijaksana.

​Menurutnya, penganjuran program seperti Karnival Alam Melayu dan Ketamadunan Islam menjadi wadah penting untuk masyarakat kembali menghayati akar sejarah dan warisan yang membentuk budaya bangsa.

​"Kita hidup dalam zaman yang mencabar di mana sebarang bentuk perbezaan begitu mudah menjadi jurang yang dalam dan sebuah kesatuan sering diuji oleh kepentingan yang pelbagai.

​"Justeru, seruan untuk kembali kepada kesatuan sebenarnya bukanlah satu slogan yang retorik, bahkan ia satu keperluan bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan masyarakat," katanya.

​Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan Majlis Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 1447H/2026M di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini pada Khamis.

​Mengulas lanjut mengenai tema 'Satu Ummah', Mohd Nor berkata, kekuatan sesebuah komuniti bukan hanya terletak pada penyatuan fizikal, tetapi juga keupayaan mengurus kepelbagaian mazhab serta pandangan dengan adab dan ilmu.

​Beliau turut menyentuh aspek kemandirian ekonomi sebagai tunjang utama untuk mengelakkan ummah daripada terus bergantung atau tunduk kepada tekanan pihak luar.

​"Tanpa kekuatan ekonomi, kita akan terus bergantung. Maka usaha memperkukuh ekonomi ummah perlu digerakkan secara tersusun dalam membina keupayaan dan memastikan kemakmuran dirasai secara menyeluruh," jelasnya.

​Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kestabilan negara turut bergantung kepada kepimpinan yang mempunyai integriti tinggi serta sedar akan amanah yang bakal dipersoalkan di akhirat kelak.

​"Di Malaysia, Melayu dan Bumiputera adalah teras kestabilan negara. Mengukuhkan kedudukan ini bermakna mengukuhkan asas negara, namun dalam masa sama, kita tidak boleh mengetepikan masyarakat lain yang turut bersama membina tanah air ini.

​"Keharmonian ini lahir daripada kesediaan untuk hidup bersama dan berkongsi masa depan yang sama. Keseimbangan inilah yang perlu kita jaga dengan penuh kebijaksanaan," katanya lagi.