KUALA NERUS - Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu 2026 membuka tirai hari ini.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 2 hingga 4 April itu menghimpunkan perwakilan, tetamu dan pempamer dari Malaysia, Brunei, Filipina, Indonesia, Singapura, Patani dan Vietnam.
Pengarah Program, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia menjadi satu isyarat jelas Terengganu mahu menjadikan rantau Alam Melayu sebagai medan perpaduan ummah di tengah cabaran global yang semakin mendesak.
Menurutnya, acara itu bukan sekadar bersifat simbolik sebaliknya satu langkah strategik Kerajaan Negeri Terengganu untuk mendepani realiti semasa yang semakin mencabar, khususnya perpecahan dalaman ummah dan tekanan arus globalisasi.
"Tema 'Satu Ummah' yang diangkat pada penganjuran kali ini membawa misi yang jauh lebih besar daripada perhimpunan biasa, iaitu membina semula kekuatan umat melalui jaringan serantau yang kukuh, pengukuhan identiti dan tindakan boleh dilaksanakan secara nyata.
"Objektif pertama program pula ialah memperkukuh ukhuwah sesama umat Islam dan masyarakat Alam Melayu dengan membina jaringan kesatuan yang melangkaui sempadan geografi dan negara.
"Selain itu, usaha mempertemukan tokoh, delegasi dan masyarakat dari pelbagai wilayah merupakan satu keperluan, bukan lagi pilihan apatah dalam suasana dunia yang semakin berpecah dan sarat dengan pengaruh luar,"katanya pada Khamis.
Tambah Muhammad Khalil, program itu turut digerakkan untuk mengukuhkan jati diri umat melalui usaha menghidupkan semula tradisi, adab dan warisan alam Melayu yang dibentuk serta disulami dengan nilai-nilai Islam yang tinggi.
Jelasnya, ini bukan soal nostalgia semata-mata, tetapi membina semula kekuatan identiti agar umat tidak hanyut dalam gelombang globalisasi yang mencairkan akar budaya dan pegangan hidup.
Beliau turut menegaskan bahawa karnival berkenaan mesti melahirkan hasil yang lebih konkrit, terutama dalam merumuskan langkah-langkah praktikal yang boleh dilaksanakan segera, khususnya dalam memperkukuh ekonomi dan pendidikan ummah.
"Platform seumpama itu perlu dimanfaatkan untuk mencari 'low hanging fruit', iaitu tindakan awal yang realistik, boleh dicapai dan memberi kesan langsung kepada masyarakat, bukannya sekadar berhenti pada retorik seminar atau semangat acara.
"Sepanjang tiga hari penganjuran, perkarangan stadium berkenaan akan menjadi lokasi pelbagai pengisian ilmu, rohani dan kebudayaan, termasuk empat sesi Persidangan Meja Bulat Alam Melayu, pameran jualan, serta aktiviti lapangan yang menampilkan kehebatan tamadun alam Melayu.
"Malam ini pula, program akan diserikan dengan Malam Melayu Berselawat. Ia antara pengisian penting bagi menyuburkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW, di samping mengikat dimensi rohani dalam agenda besar penyatuan ummah," ujarnya.
