
KANGAR – Polis Perlis menasihatkan semua pihak supaya tidak memainkan isu berkaitan institusi diraja, agama dan kaum (3R) susulan cubaan menganjurkan Himpunan Merah yang dijadualkan berlangsung di negeri ini pada 30 Ogos ini.
Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zaihairul Idrus berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung cubaan penganjuran himpunan tersebut yang dikaitkan dengan perobohan sebuah kuil di Bukit Lagi, di sini.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan pihak penganjur akan dipanggil dalam masa terdekat bagi dirakamkan keterangan.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak memainkan isu agama atau sentimen berkaitan 3R yang boleh memecahbelahkan masyarakat majmuk,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, mana-mana pihak yang mempunyai tuntutan atau rasa tidak puas hati sewajarnya menggunakan saluran undang-undang yang tersedia.
“Pihak berkaitan boleh menggunakan saluran undang-undang untuk mengutarakan sebarang tuntutan dengan cara yang sah, bukannya mencetuskan ketegangan,” ujarnya.
Pemuda UMNO Bahagian Kangar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, malam tadi susulan cubaan penganjuran perhimpunan yang dikaitkan dengan aktivis masyarakat, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Arun Doraisamy. – KOSMO! ONLINE
The post Himpunan Merah, jangan main sentimen 3R – Polis Perlis appeared first on Kosmo Digital.






