
KANGAR: Pemuda UMNO Perlis membuat laporan polis berhubung dakwaan penganjuran Himpunan Merah yang dijadual berlangsung pada 30 Ogos ini susulan isu perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi di sini.
Ketuanya, Saiful Fariddil Jasmi berkata, laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar semalam kerana bimbang himpunan berkenaan boleh mencetuskan provokasi serta menjejaskan ketenteraman awam.
Beliau memandang serius usaha mengadakan himpunan tersebut yang didakwa mempunyai kaitan dengan isu perobohan kuil berkenaan.
“Sehubungan itu, kami mendesak pihak polis menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut rakyat, mencetuskan suasana tidak aman atau mengganggu ketenteraman awam,” katanya di sini hari ini.
Saiful Fariddil yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kangar turut menyeru rakyat Perlis bertenang dan tidak terpengaruh dengan sebarang agenda yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Sebarang perhimpunan yang berunsur provokasi serta berpotensi menjejaskan perpaduan rakyat tidak seharusnya diberi ruang untuk berlangsung,” katanya.-UTUSAN
The post Pemuda UMNO Perlis buat laporan polis siasat Himpunan Merah appeared first on Utusan Malaysia.






