
PETALING JAYA: UMNO dan Pas diminta untuk membuka pintu Himpunan Perpaduan Ummah kepada semua orang Melayu Islam tanpa mengira latarbelakang parti masing-masing bagi membolehkan perpaduan orang Melayu Islam kembali dibina.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, UMNO dan Pas perlu menjadikan himpunan itu sebagai permulaan kepada sesuatu yang lebih besar iaitu kesedaran bahawa perbezaan parti tidak semestinya menjadikan semua musuh.
Beliau berkata, UMNO dan Pas dilihat bersedia untuk membuka pintu namun parti lain juga perlu bersedia melangkah masuk.
“Jangan tutup pintu itu hanya kerana ego dan sejarah lama.
“Kita tak perlu bubarkan semua parti untuk bersatu. Kita hanya perlu setuju bahawa dalam perkara yang melibatkan masa depan bangsa, agama dan negara, kepentingan bersama mesti mengatasi kepentingan parti dan individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Pejuang menyambut baik cadangan UMNO dan Pas untuk menghimpunkan orang Melayu Islam melalui Himpunan Perpaduan Ummah kerana orang Melayu sudah terlalu lama berpecah.
Walaupun parti berbeza, beliau berkata, orang Melayu masih sebangsa, seagama dan satu tanah air.
“Kita pernah lihat apa yang berlaku apabila orang Melayu bersatu. Kita juga sedang lihat apa yang berlaku bila orang Melayu memilih untuk terus berpecah.
“Sebab itu himpunan sejuta umat ini jangan sekadar jadi himpunan UMNO dan PAS. Bukalah pintunya kepada semua yang mahu melihat perpaduan Melayu dan Islam dibina semula.
“Jangan tanya dulu dia ahli parti mana. Jangan tanya siapa kawannya dulu dan siapa lawannya dulu. Kalau setiap kali hendak bersatu kita buka semula buku sengketa lama, sampai bila pun kita tak akan bersatu,” katanya.
Tambahnya lagi, bagi merealisasikannya, UMNO dan Pas serta lain-lain parti Melayu perlu mengenepikan kepentingan sendiri untuk kepentingan yang jauh lebih besar.
“Apa yang diperlukan sekarang bukan siapa jadi abang besar dan siapa jadi adik. Bukan siapa dapat lebih banyak kerusi. Bukan juga siapa lebih kuat,” katanya. – UTUSAN
The post Himpunan Ummah jangan untuk UMNO-Pas sahaja appeared first on Utusan Malaysia.






