
ARAU – Ketua Dewan Ulamak Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil membuat laporan polis berhubung hantaran di Facebook yang didakwa menghina institusi diraja Perlis di Balai Polis Arau hari ini.
Ahmad Adnan berkata, laporan itu dibuat secara peribadi selepas mendapati ia bukan sahaja menyentuh dirinya, malah disifatkan tidak menghormati institusi diraja pada pukul 3.15 petang tadi.
“Daripada segi agama, mereka menuduh saya mempertahankan pengkhianatan, sedangkan saya tidak tahu apa asasnya. Kalau seseorang boleh menuduh sesiapa sahaja tanpa bukti, ramai akan teraniaya.
“Saya turut terkilan apabila anugerah Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kurniaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan kepada negeri itu digelar sebagai ‘Pingat Jasa Pengkhianat’,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis, hari ini.
Katanya, Pas sentiasa menjunjung tinggi institusi diraja serta mempertahankan kedaulatan Raja Raja Melayu sebagai payung rakyat dan penjaga agama Islam.
“Tindakan tegas wajar diambil terhadap pemilik akaun Facebook terbabit kerana kenyataan sedemikian tidak boleh dijadikan ikutan, khususnya dalam kalangan generasi muda,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan pihaknya menerima dua laporan berkaitan dan sedang menyiasat kes tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Hina institusi diraja, Ketua Dewan Ulamak Pas Perlis buat laporan polis appeared first on Kosmo Digital.






