ARAU - Tindakan menghina institusi diraja dianggap perbuatan biadab dan hanya sanggup dilakukan oleh individu tidak waras.
Ketua Dewan Ulamak Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil berkata, perbuatan tersebut tidak melambangkan sikap ahli parti sebaliknya Pas sangat menghormati dan menjunjung tinggi institusi diraja serta kedaulatan Raja-raja Melayu.
"Kenyataan sebegini dianggap biadab kerana Pas tak akan sesekali bersetuju... sebab kita, Pas menjunjung tinggi sultan dan raja Melayu.
"Pada pandangan saya, dari segi agama salah, dari segi adat Melayu pun salah, dari segi agama dia tuduh saya sebagai mempertahankan pengkhianatan. Saya tak tahu apa asas dia menyebut begitu seolah saya ini melakukan sesuatu pengkhianatan di Perlis," katanya.
Beliau berkata demikian susulan hantaran dibuat seorang pengguna media sosial yang dianggap mengandungi kenyataan berunsur menghina institusi diraja Perlis berkaitan penganugerahan pingat kebesaran negeri berkenaan.
Hantaran tersebut merujuk kepada pengurniaan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada Ahmad Adnan yang digelar individu berkenaan kepada 'Pingat Jasa Khianat'.
Ahmad Adnan ditemui media selepas membuat laporan polis berhubung hantaran tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, di sini, pada Jumaat.
"Kita tak nak, bibit sebegini jadi ikutan kepada generasi muda...saya tak berapa kenal dia sejauh mana, tak pernah berhubung dengan dia, siapa dia, atau dia anak siapa sekalipun, kenyataan sebegitu tak boleh diterima.
"Kenyataan ini dianggap bukan keluar daripada orang waras...orang yang cakap sebegini, selalunya tidak waras," katanya.
Khamis lalu, Ahmad Adnan menerima penganugerahan PJK pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau.
Katanya, penganugerahan tersebut adalah pengiktirafan sumbangannya sebagai Ahli Panel Syariah Jabatan Mufti Negeri Perlis sejak 2020, menjadi penceramah bertauliah di masjid dan radio sekitar negeri serta menghasilkan karya melalui penulisan buku.






