Polis Siasat Hantaran Facebook Didakwa Hina Institusi Diraja Perlis

LocalPolitics
31 Jul 2026 • 7:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Polis Siasat Hantaran Facebook Didakwa Hina Institusi Diraja Perlis

KUALA LUMPUR - Polis membuka kertas siasatan susulan dua laporan diterima berhubung satu hantaran di Facebook yang didakwa mengandungi kenyataan menghina institusi diraja Perlis berkaitan penganugerahan darjah kebesaran negeri.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, kedua-dua laporan itu dibuat oleh dua lelaki masing-masing berusia 35 dan 40 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar pada jam 9.30 pagi dan 9.53 pagi, hari ini.

Menurut beliau, pengadu mendakwa hantaran berkenaan dimuat naik pada jam 11.36 malam semalam oleh seorang pengguna Facebook menggunakan nama “Mohd Syafeeq”.

Katanya, hantaran itu merujuk kepada penganugerahan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada Ahmad Adnan Fadzil dalam Istiadat Pengurniaan Darjah dan Pingat Kebesaran Negeri Perlis.

“Dalam hantaran tersebut, individu berkenaan dipercayai mengeluarkan kenyataan yang secara tidak langsung mempertikaikan penganugerahan pingat berkenaan.

“Pengadu berpendapat kenyataan itu boleh ditafsirkan sebagai menghina atau memperlekehkan pengurniaan yang dikurniakan oleh Raja Perlis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yusharifuddin berkata, pengadu turut mendakwa hantaran itu berpotensi mewujudkan persepsi negatif terhadap institusi diraja Perlis serta mengelirukan masyarakat.

Beliau berkata, kenyataan tersebut juga boleh menjejaskan keharmonian awam kerana menyentuh isu sensitif membabitkan agama, kaum dan institusi diraja atau 3R.

Menurutnya, pengadu menyerahkan tangkap layar hantaran Facebook itu sebagai bahan rujukan dan bukti bagi membantu siasatan polis.

“Siasatan awal mendapati pemilik akaun Facebook berkenaan dipercayai seorang lelaki muda yang berasal atau menetap di Sungai Padang, Perlis.

“Polis sedang mengesan dan mengesahkan identiti individu terbabit, dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat kesalahan di bawah undang-undang sedia ada,” katanya. - Getaran, 31 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved