Hina PMX di Facebook, lelaki dipenjara tiga bulan

LocalPolitics
11 Nov 2026 • 12:59 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Hina PMX di Facebook, lelaki dipenjara tiga bulan

SEPANG – Seorang lelaki dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat hantaran berunsur penghinaan dan kebencian terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi aplikasi Facebook.

Tertuduh, Mohamed Shazrin Jamil, 35, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Shahril Anuar Raja Baniamin di Mahkamah Sepang di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Shazrin didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melampau menerusi akaun Facebook menggunakan akaun ‘Shazrin Kedah’ miliknya pada 12 Mac lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik melampau sifatnya pada 6.15 petang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Hantaran tersebut telah menggunakan rujukan kasar dan ucapan bernada kebencian yang boleh menyinggung perasaan serta menjatuhkan maruah terhadap Perdana Menteri.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(2) Akta yang sama.

Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan perlindungan awam dan pencegahan terhadap kesalahan sama.

Beliau berkata, tahap penghinaan dalam komen berkenaan selain penggunaan kata-kata kesat serta sifatnya yang boleh diakses orang awam merupakan faktor pemberatan yang perlu dipertimbangkan mahkamah.

Katanya, hukuman tegas perlu dijatuhkan bukan sahaja bagi menghalang tertuduh mengulangi kesalahan, malah memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan perbuatan sama.

Namun begitu, tertuduh yang diwakili oleh peguam Amer Haiqal Mohd. Yusof memohon hukuman penjara lebih singkat dengan mengambil kira keadaan kewangan dan tanggungjawab keluarga anak guamnya.

Beliau berkata, tertuduh kini tidak bekerja, tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mempunyai wang kira-kira RM1,000.

Katanya lagi, tertuduh juga merupakan anak yang bertanggungjawab menjaga ibu bapanya yang masing-masing menghidap penyakit batu karang dan diabetes serta tiga serangkai.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap tertuduh dan dibawa ke Penjara Kajang hari ini. – KOSMO! ONLINE

The post Hina PMX di Facebook, lelaki dipenjara tiga bulan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved