
Kota Kinabalu: Dua lelaki yang mencuri lima kotak kepak ayam sejuk beku milik majikan mereka masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Adzwah Abdullah, 23, dan Kenny Madik, 24, selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapi mereka.
Kesalahan itu dilakukan pada jam 3.44 petang, 29 Ogos tahun ini di premis syarikat berkenaan di Kampung Dambai, Manggatal.
Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu bahawa pengadu dimaklumkan oleh pemandu lori syarikat berkenaan bahawa dua pekerjanya telah mencuri lima kotak kepak ayam dan menjualnya kepada pelanggan lain.
Kedua-dua lelaki itu kemudian ditangkap susulan laporan polis yang dibuat oleh pengadu.
Di mahkamah sama, dua wanita masing-masing didenda RM1,800 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda kerana membeli nombor loteri haram 4D.
Nur Shazwani Jasneh didapati membeli empat keping nombor loteri haram 4D pada jam 2.30 petang, 31 Oktober tahun ini di kaki lima hadapan sebuah kedai kopi di Putatan.
Sementara itu, Juliana, 28, didapati membeli dua keping nombor loteri haram 4D pada jam 2 petang, 20 Ogos tahun ini di hadapan sebuah kedai di Inanam.
Timbalan Pendakwa Raya Esther Cynthia Jebon mengendalikan pendakwaan.






