Awal bulan ini, pengguna TV pintar Hisense di Sepanyol melaporkan mereka disajikan iklan skrin penuh apabila mengakses ciri menukar input. Sebilangan kecil lagi pula melaporkan iklan dipaparkan sepanjang masa pada antaramuka depan TV. Iklan tidak boleh dilangkau atau dimatikan. Hanya pengguna yang celik IT boleh menghalang iklan ini menerusi tetapan di penghala internet di rumah.

Selepas isu ini tular, Hisense mengeluarkan kenyataan rasmi mengatakan paparan iklan adalah sekadar ujian yang dilakukan bagi melihat maklum balas pengguna. Iklan hanya muncul pada sebilangan kecil TV pengguna yang dipilih secara rawak bulan lalu. Setakat ini hanya TV Hisense dengan sistem operasi VIDAA di Sepanyol melaporkan paparan iklan ini.
Isu iklan pada TV menjadi isu sensitif kerana ia turut dilakukan oleh Samsung dan LG. Samsung dan LG memaparkan iklan pada skrin muka depan TV Tizen dan WebOS mereka termasuklah di Malaysia. Malahan kami ada insiden pembeli disajikan iklan walaupun TV premium dibeli pada harga ribuan ringgit.
