HLIB perkenal platform e-IPO HLeBroking mudahkan pelabur akses pasaran

Business & FinancePersonal Finance
5 Dec 2025 • 4:36 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HLIB perkenal platform e-IPO HLeBroking mudahkan pelabur akses pasaran
image is not available
liza05/12/2025 - 16:36 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Dis – Hong Leong Investment Bank (HLIB) melancarkan platform e-IPO HLeBroking yang membolehkan pelanggan memohon saham Tawaran Awam Permulaan (IPO) secara terus melalui laman web HLeBroking. 

 

Pelancaran ini bertujuan untuk memudahkan pelabur berpengalaman dan baharu untuk mengakses pasaran IPO serta mengurangkan kerumitan proses permohonan konvensional sebelum ini yang menggunakan ATM atau portal perbankan berasingan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif HLIB, Lee Jim Leng berkata, pelancaran platform itu sangat tepat pada masanya memandangkan pasaran IPO Malaysia mencatatkan hampir 50 penyenaraian sepanjang tahun 2025. 

 

“Pengenalan platform e-IPO adalah bukti komitmen bank untuk menjadikan pelaburan berpotensi tinggi lebih mudah diakses, selaras dengan usaha meningkatkan penyampaian produk dan perkhidmatan. 

 

“Platform ini membolehkan pelanggan mengurus permohonan IPO sepenuhnya dalam ekosistem HLeBroking, termasuk memohon, membatalkan atau memohon semula tawaran, serta menjejak semua aktiviti, status dan sejarah transaksi melalui akaun log masuk yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Platform bersepadu ini juga membolehkan pelabur melihat baki amanah dan portfolio mereka tanpa perlu melakukan pengeluaran tunai atau pemindahan dana dari akaun lain, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan dana. 

 

Dalam usaha menarik lebih ramai pengguna, HLIB menawarkan pengecualian yuran permohonan IPO sepanjang tempoh kempen serta rebat broker sebanyak 15 peratus apabila melakukan transaksi saham IPO yang baru disenaraikan pada tarikh penyenaraian.

 

Pelancaran HLeBroking e-IPO menempatkan HLIB di barisan hadapan inovasi perkhidmatan pelaburan di Malaysia yang membuktikan komitmen bank untuk menyediakan akses terus dan lancar kepada pelbagai pasaran modal. - DagangNews.com

Terkini standard