Saham Geohan dibuka pada 54 sen, susut 1 sen dari harga IPO pada penampilan sulung di Pasaran Utama

LocalBusiness & Finance
5 Dec 2025 • 11:05 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Saham Geohan dibuka pada 54 sen, susut 1 sen dari harga IPO pada penampilan sulung di Pasaran Utama
image is not available
liza05/12/2025 - 11:05 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Dis – Saham Geohan Corp Bhd dibuka pada harga 54 sen pada penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pagi ini, turun satu sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 55 sen sesaham.

 


Sebanyak 1.56 juta saham diniagakan pada  pembukaan dagangan menjadikan permodalan pasaran bernilai RM237.60 juta.

 

Sebanyak 22 juta saham baharu yang dibuka untuk permohonan orang ramai telah terlebih langgan sebanyak 7.78 kali, menunjukkan permintaan tinggi dan keyakinan pelabur terhadap asas perniagaan Geohan.

 

Geohan dalam satu kenyataan memaklumkan, melalui IPO itu, ia berjaya mengumpul RM72.6 juta daripada penerbitan 132 juta saham baharu. 

 

Daripada jumlah ini, RM40 juta diperuntukkan untuk menambah armada jentera, termasuk pembelian rig penggerudian putar baharu, kren dan jentera pengorek.

 

RM25.6 juta diperuntukkan untuk modal kerja manakala baki RM7 juta adalah untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Pengarah Urusan Geohan, Lee Kim Seng berkata, visi hala tuju syarikat adalah jelas untuk menambah jentera bagi meningkatkan kapasiti operasi dan memperluaskan kehadiran di Singapura. 

 

“Kami bersedia untuk merebut peluang daripada sektor infrastruktur Malaysia yang berkembang serta aktiviti pembinaan Singapura yang rancak. 

 

“Kepakaran kami sebagai penyedia  perkhidmatan asas dan geoteknik memberi kelebihan kompetitif dalam mendapatkan kontrak asas dan geoteknik yang penting. “Dengan memanfaatkan kekuatan ini, kami akan terus memimpin industri dan memacu pertumbuhan lestari,” katanya.

 

Penyenaraian ini bukan sahaja memperkukuh profil pasaran dan kredibiliti syarikat, malah membuka laluan kepada pertumbuhan masa depan dan peluang baharu dalam industri pembinaan.

 

Alliance Islamic Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Penjamin Tunggal dan Ejen Penempatan bagi IPO ini. - DagangNews.com

Terkini standard