Oppo Watch X3 Dijual Di Malaysia Pada Harga Bermula RM1499

LocalTechnology
21 Apr 2026 • 9:35 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Oppo hari ini memperkenalkan jam tangan pintar terbaharu Watch X3 bersama telefon mercu Find X9 Ultra sebentar tadi. Ia hadir dengan rekaan titanium ringan, fungsi penjejakan kesihatan canggih serta jangka hayat bateri yang lebih lama.

Image from: Oppo Watch X3 Dijual Di Malaysia Pada Harga Bermula RM1499

Oppo Watch X3 hadir dalam dua pilihan warna iaitu Misty Titanium dan Obsidian Black. Ia direka dengan dimensi 47.40 × 47.40 × 11.0 mm serta berat 43gram. Selain itu, skrin LTPO AMOLED bersaiz 1.5″ dengan lapisan kaca Sapphire Crystal digunakan menawarkan resolusi 466 × 466 piksel. Paparan ini juga mampu mencapai tahap kecerahan sehingga 3,000 nits ketika mod sukan, 1,500 nits untuk kecerahan maksimum biasa dan 600 nits untuk kecerahan standard.

Image from: Oppo Watch X3 Dijual Di Malaysia Pada Harga Bermula RM1499

Dari segi prestasi, jam tangan ini dilengkapi memori 2GB bersama storan 32GB serta bateri berkapasiti 646mAh dengan ketahanan sehingga 5 hari untuk penggunaan biasa. Selain itu, ia menjalankan sistem operasi Google Wear OS 6 yang menyokong sambungan WLAN 2.4G/5G, Bluetooth 5.2 dan NFC. Tidak ketinggalan, ia juga hadir dengan penarafan 5ATM + IP68/IP69 serta piawaian ketenteraan MIL-STD-810H yang menjadikannya lebih tahan lasak.

Oppo Watch X3 ditawarkan pada harga RM1,599 bagi warna Misty Titanium dan RM1,499 bagi Obsidian Black. Pratempahan kini dibuka sehingga 7 Mei dengan rebat RM200 serta hadiah percuma tali jam OPPO TechLife bernilai RM299 melalui laman web rasmi dan pengedar sah Oppo Malaysia.