Honor terus mencuri perhatian dengan pendedahan beberapa imej rasmi telefon boleh katup terbarunya Magic V Flip 2. Peranti ini bukan sahaja tampil dengan rekaan bergaya malahan menawarkan spesifikasi menarik seperti sistem kamera beresolusi tinggi, dan bateri berkapasiti besar.

Magic V Flip2 akan dilengkapi dengan dua kamera belakang iaitu sensor utama 200MP dan ultra-lebar 50MP. Dengan konfigurasi ini, sistem kameranya dilihat setanding dengan beberapa model mercu lain seperti Galaxy Z Fold 7 sekali gus menjadikannya antara telefon boleh katup yang menonjol dalam aspek fotografi. Honor turut memberi penekanan kepada keupayaan swafoto dan rakaman potret yang jelas, sesuai digunakan dalam pelbagai keadaan pencahayaan dan sudut rakaman.

Honor menjalinkan kerjasama dengan pereka fesyen terkenal Datuk Jimmy Choo untuk menghasilkan satu versi eksklusif berwarna biru untuk menambahkan sentuhan gaya kepada Magic V Flip 2. Peranti ini turut dilengkapi dengan bateri berkapasiti 5,500mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar 80W serta pengecasan pantas tanpa wayar 50W.

Skrin utama Magic V Flip 2 pula menggunakan panel LTPO OLED bersaiz 6.8 inci dengan kadar segar semula 120Hz dan resolusi 2520 x 1080 piksel.Dari aspek ketahanan, Honor menggunakan kaca UTG yang direka untuk menahan sehingga 350,000 kali lipatan dengan ketebalan kurang daripada 50μm.
Menurut Honor, teknologi berkenaan membolehkan skrin berfungsi dengan baik walaupun selepas penggunaan jangka masa panjang. Magic V Flip 2 dijadualkan dilancarkan secara rasmi di China pada 21 Ogos 2025.


