Sony dilaporkan sedang membangunkan sensor kamera baharu dengan resolusi 200MP yang berpotensi digunakan dalam telefon pintar mercu keluaran Samsung dan Oppo pada masa akan datang.

Menurut laporan awal Samsung Galaxy S26 Ultra mungkin akan dilengkapi dengan sensor bersaiz 1/1.1″serta bukaan aperture f/1.4 yang mampu meningkatkan prestasi fotografi dalam keadaan cahaya rendah. Meskipun model sebelumnya, Galaxy S25 Ultra sedia hadir dengan kamera 200MP, penggunaan sensor baharu ini dijangka membawa peningkatan dari segi kualiti imej dan keupayaan rakaman video.

Sementara itu, Oppo juga tidak ketinggalan apabila model Oppo Find X9 Ultra dikhabarkan hadir dengan sistem kuad-kamera yang merangkumi sensor utama 200MP dan tiga sensor tambahan 50MP. Ini merupakan peningkatan ketara berbanding model Find X8 Ultra yang menggunakan kamera utama 50MP bersaiz 1″. Oppo juga mungkin akan bekerjasama dengan Hasselblad untuk menawarkan kit fotografi khas pada model baharu ini.
Buat masa ini, maklumat tersebut masih belum disahkan secara rasmi. Jadi ada baiknya jika pengguna menunggu pengumuman lanjut daripada Oppo dan Samsung sendiri.


