Tidak lama selepas Honor melancarkan peranti pintar boleh lipat kelas mercu terbaru mereka, Honor Magic V5, mereka nampaknya akan memperkenalkan sebuah lagi peranti boleh-lipat yang lebih padat, iaitu Honor Magic V Flip2.
Terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa peranti ini akan diperkenalkan oleh Honor seawal minggu hadapan (pertengahan bulan Ogos) dan walaupun tidak banyak butiran yang diketahui mengenai peranti ini buat masa sekarang, apa yang kita tahu ialah ia akan menerima sentuhan kreatif oleh pereka kasut popular Datuk Jimmy Choo.
Fokus peranti Honor Magic V Flip2 nampaknya akan lebih kepada golongan fashionista dengan rekaan peranti yang bertakhtakan kristal dengan rekaan yang mencuri perhatian orang ramai. Beliau sendiri mengatakan dalam hantaran di Instagram bahawa peranti ini dibangunkan khusus untuk meraikan kecemerlangan wanita.
Jangkaan kami buat masa ini ialah peranti Honor Magic V Flip2 yang menerima sentuhan kreativiti Datuk Jimmy Choo ialah untuk sebuah “edisi khas” peranti ini, yang mungkin akan diperlihatkan oleh Honor pada pelancaran minggu depan, jika butiran yang diberikan adalah benar.


