Honor kini memperkenalkan sebuah telefon pintar dengan kapasiti bateri yang besar setakat ini di pasaran penawaran peranti utama, iaitu Honor X80 Pro Max. Telefon pintar ini hadir dengan bateri berkapasiti 11,000mAh – lebih besar berbanding pelbagai peranti yang kini bersaing dengan penawaran bateri berkapasiti sekitar 10,000mAh.

Honor X80 Pro Max menggunakan skrin bersaiz 6.8-inci 1280×2788 LTPS AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz, dikuasakan dengan cip Snapdragon 6 Gen 5, memori sehingga 12GB RAM, dan storan sehingga 512GB. Pada bahagian kamera, ia menyertakan kamera utama 50-megapixel dibelakang, selain kamera 8-megapixel untuk swafoto.

Honor memfokuskan kepada ketahanan dan juga penggunaan bateri lama melalui Honor X80 Pro Max ini. Bateri 11,000mAh ini boleh dicas pantas secara wayar dengan sokongan 90W, atau 27W secara nirwayar. Menariknya, Honor turut mendapatkan persijilan rekod dunia untuk telefon pintar ini sebagai telefon yang paling bertahan lama atas kuasa bateri untuk tontonan penstriman langsung – dengan ketahanan selama 26 jam, 8 minit, 34 saat.
Honor X80 Pro Max menggunakan sistem operasi MagicOS 10 berasaskan kepada Android 16, dan turut menyertakan integrasi sokongan AI, selain sokongan NFC. Melengkapkan telefon pintar ini juga adalah sokongan kalis air IP68, IP69 dan juga IP69K.

Buat masa ini, telefon pintar ini hanya disenaraikan untuk penawaran di China sahaja. Ia tidak diketahui lagi sama ada peranti dengan bateri berkapasiti besar ini akan dijual pada peringkat global atau tidak.





