PM Seru Pengundi Negeri Sembilan Ketepi Perbezaan, Utamakan Perpaduan Selepas Pilihan Raya

LocalPolitics
31 Jul 2026 • 7:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PM Seru Pengundi Negeri Sembilan Ketepi Perbezaan, Utamakan Perpaduan Selepas Pilihan Raya

KUALA LUMPUR - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya mengetepikan perbezaan politik selepas berakhirnya kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan kembali bersatu demi menjamin kestabilan serta kesinambungan pembangunan ekonomi.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook hari ini, Perdana Menteri berkata tempoh berkempen menyaksikan pelbagai pandangan dan perbezaan pendapat antara parti yang bertanding, malah mengakui terdapat pihak yang mungkin melampaui batas dalam berpolitik.

“Tempoh kempen PRN Negeri Sembilan telah berlangsung dengan pelbagai pandangan dan pendapat disuarakan.

“Saya percaya sepanjang proses itu mungkin ada keterlanjuran. Oleh itu, marilah kita saling bermaafan dan kembali sebagai sahabat kerana kita semua adalah rakyat Malaysia,” katanya.

Anwar, yang juga Presiden PKR, turut menggesa semua pengundi di Negeri Sembilan tanpa mengira kaum dan agama supaya menunaikan tanggungjawab mengundi pada hari pengundian esok.

Beliau berkata, PH memohon mandat rakyat untuk terus mentadbir negeri itu bagi memastikan kestabilan politik dapat dikekalkan sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

“Bagi pihak Pakatan Harapan, saya memohon pertimbangan rakyat untuk memberi peluang kepada kami meneruskan khidmat, memastikan kestabilan dan memacu pertumbuhan yang membawa kemakmuran kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan MADANI,” katanya.

Seramai 859,750 pengundi biasa layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung esok. - Getaran, 31 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved