Hospital Selayang catat tiga kejayaan sambung tangan terputus

LocalHealth & Fitness
22 Oct 2026 • 12:29 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Hospital Selayang catat tiga kejayaan sambung tangan terputus

PETALING JAYA – Pasukan Jabatan Tangan dan Pembedahan Mikro Hospital Selayang berjaya menyambung semula kedua-dua tangan seorang pesakit yang terputus akibat kemalangan di tempat kerja menerusi pembedahan kompleks.

Lebih membanggakan, kecederaan melibatkan kedua-dua tangan terputus amat jarang berlaku dengan pembedahan seumpama itu dilaporkan hanya sekitar dua hingga tiga kes dalam tempoh 30 tahun di pusat-pusat perubatan utama dunia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Hospital Selayang pula berjaya merekodkan tiga kes seumpama itu dalam tempoh 18 tahun, sekali gus mencerminkan tahap kepakaran pasukan pembedahan mikro negara.

“Syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Dr. Rashdeen Fazwi Muhammad Nawawi, Dr. Syahril Rizal Arsad serta seluruh pasukan Jabatan Tangan dan Pembedahan Mikro, Hospital Selayang atas kejayaan luar biasa menyambung semula kedua-dua belah tangan seorang pesakit yang terputus akibat kemalangan di tempat kerja.

“Kejayaan ini bukan sahaja satu pencapaian klinikal yang membanggakan, malah meletakkan kepakaran perubatan negara setaraf dengan pusat perubatan utama dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Hospital Selayang, pembedahan kompleks berkenaan dilaksanakan semalam diketuai Ketua Jabatan Ortopedik, Datuk Dr. Rashdeen Fazwi bersama Ketua Unit Tangan dan Pembedahan Mikro, Dr. Syahril Rizal serta pasukan pakar dan petugas kesihatan.

Dr. Dzulkefly berkata, pembedahan mikro yang rumit itu memerlukan kemahiran teknikal sangat teliti, ketahanan fizikal dan mental serta koordinasi rapi pasukan multidisiplin.

Katanya, tindakan pantas juga diperlukan bagi memulihkan aliran darah selain menyambung struktur saraf, saluran darah serta urat pesakit.

“Kecekapan dan kepakaran luar biasa pasukan mikrosurgeri kita telah berjaya merekodkan tiga kes seumpama ini dalam tempoh 18 tahun.

“Saya amat berbangga dengan semangat dan dedikasi seluruh warga Hospital Selayang dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ini bukti kukuh bahawa sistem kesihatan awam kita dipacu oleh pakar-pakar berwibawa yang sentiasa komited mengembalikan kualiti hidup serta masa depan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Hospital Selayang berkata, kejayaan tersebut mencerminkan tahap kepakaran klinikal, ketelitian serta koordinasi pasukan multidisiplin dalam mengendalikan kes trauma kompleks.

Menurutnya, setiap tindakan dan keputusan klinikal memainkan peranan penting dalam usaha memulihkan fungsi anggota serta memberi harapan kepada pesakit untuk menjalani proses pemulihan dan rehabilitasi.

Hospital berkenaan turut menyifatkan kejayaan itu bukan sekadar pencapaian dalam bidang perubatan, malah menjadi bukti komitmen warganya dalam mengutamakan keselamatan, kesejahteraan dan kualiti hidup pesakit.- KOSMO! ONLINE

The post Hospital Selayang catat tiga kejayaan sambung tangan terputus appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved