Polis kesan 9 PATI masih lolos dari depot

24 Aug 2026 • 2:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis kesan 9 PATI masih lolos dari depot
Polis dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) meneruskan operasi memburu sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masih belum ditahan selepas meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah, di sini, awal pagi semalam.
Image from: Polis kesan 9 PATI masih lolos dari depot
Kesemua mereka terdiri daripada tujuh warga Thailand, manakala masing-masing seorang warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.

TANAH MERAH - Polis dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) meneruskan operasi memburu sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masih belum ditahan selepas meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, usaha mengesan kesemua PATI berkenaan turut dipergiat menerusi Sekatan Jalan Raya (SJR) di beberapa lokasi yang dikenal pasti.

Menurutnya, daripada keseluruhan 10 PATI yang melarikan diri, seorang berjaya ditahan di daerah Tanah Merah pada tengah hari semalam, iaitu pada hari sama kejadian berlaku.

"Operasi mengesan baki sembilan PATI yang masih bebas turut melibatkan kerjasama masyarakat. Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya ternampak atau mengesyaki mereka berada di kawasan sekitar.

"Kita juga sudah memuat naik maklumat berkaitan kejadian itu menerusi laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah bagi mendapatkan bantuan masyarakat," katanya.

**media[3624642]**

Sebelum ini, media melaporkan Polis Kelantan sedang mengesan 10 PATI yang melarikan diri dari depot berkenaan kira-kira jam 3 pagi semalam.

Kesemua mereka terdiri daripada tujuh warga Thailand, manakala masing-masing seorang warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya menggerakkan Ops Tutup di Tanah Merah serta beberapa daerah berhampiran bagi menjejaki kesemua PATI terbabit.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi IPD Tanah Merah di talian 09-9556222 atau Balai Polis Tanah Merah menerusi 09-9556223.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved