Hotel Konsep ‘Mesra Kaum Sejenis’ Kosong Ketika Diserbu Pihak Berkuasa

LocalPolitics
14 Jan 2026 • 9:58 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Sebuah hotel yang sebelum ini tular selepas dikaitkan dengan konsep kaum sejenis didapati tidak beroperasi ketika diserbu pihak berkuasa, malah pemeriksaan turut menemukan bekas kondom terpakai di salah sebuah bilik.

Hotel konsep ‘mesra kaum sejenis’ kosong

Menurut laporan BH Online, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Sapiah Harun berkata, operasi pemeriksaan bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dijalankan pagi Selasa susulan dakwaan premis berkenaan mempromosikan aktiviti tidak bermoral.

image is not available

Foto arkib: Datuk Sapiah Harun

Menurutnya, serbuan yang dilakukan kira-kira jam 11 pagi mendapati kesemua 37 bilik di hotel berkenaan tidak berkunci, selain tiada penjaga premis mahupun pelanggan berada di lokasi ketika itu.

Beliau berkata, pengurus serta pekerja hotel yang dihubungi juga didakwa mengelak daripada hadir ke premis semasa operasi dijalankan.

“Pemeriksaan lanjut oleh JAIM menemui bekas kondom yang dipercayai telah digunakan di dalam tong sampah sebuah bilik,” katanya ketika dihubungi.

Susulan itu, Sapiah berkata lesen perniagaan premis tersebut telah dibawa ke pejabat MPHTJ bagi tindakan lanjut, manakala Jabatan Penguatkuasaan (JPK) memasang tali keselamatan untuk menghalang sebarang kemasukan sehingga pemilik tampil memberi penjelasan.

image is not available

Foto: BH Online

Tambahnya, pemeriksaan tersebut merupakan sebahagian daripada langkah penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan pematuhan undang-undang, selain menjaga sensitiviti serta kesejahteraan masyarakat setempat.

Artikel lain: Sebab Parti Arak, Melaka Tarik Sijil Halal Dua Hotel Bertaraf Lima Bintang

MPHTJ juga akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan tidak menolak tindakan tegas termasuk penarikan balik lesen sekiranya pemilik gagal memberikan penjelasan memuaskan.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) diarahkan menjalankan siasatan terhadap dakwaan kewujudan sebuah hotel berkonsepkan mesra gay yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Isu tersebut mula dibangkitkan menerusi satu hantaran oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung yang mempersoalkan trend penjenamaan perniagaan menggunakan label friendly sebagai strategi pemasaran.

Sumber: BH Online (Farhana Yaacob)

The post Hotel Konsep ‘Mesra Kaum Sejenis’ Kosong Ketika Diserbu Pihak Berkuasa appeared first on Borak Daily.