Hotel Thistle Johor Bahru dijual kepada YTL berharga RM150 juta, GuocoLand dijangka raih untung RM35 juta

LocalBusiness & Finance
2 Sep 2025 • 10:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hotel Thistle Johor Bahru dijual kepada YTL berharga RM150 juta, GuocoLand dijangka raih untung RM35 juta

image is not available

02/09/2025 - 10:10

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Sept – Pemaju hartanah terkemuka Singapura, GuocoLand Ltd menjual hotel lima bintang Thistle Johor Bahru beserta tapak tanahnya dengan harga RM150 juta.

Hotel mewah tersebut dijual kepada YTL Hotels & Properties Sdn Bhd, anak syarikat YTL Corp Bhd.

GuocoLand berkata, pelupusan itu dijangka merekodkan keuntungan bersih RM35 juta (AS$11 juta) sebaik sahaja urus niaga itu selesai.

“Ini memberikan peluang kepada syarikat untuk mencairkan aset dan merealisasikan nilai modal hartanah berkenaan, sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangan Kumpulan,” kata GuocoLand dalam makluman kepada Bursa Singapura.

Hotel yang terletak di Jalan Sungai Chat, Johor Bahru itu terletak 30 minit dari Lapangan Terbang Sultan Ismail di Senai dan terletak berdekatan dengan lokasi menarik seperti Legoland Malaysia, Iskandar Puteri dan pusat beli belah popular seperti Johor Premium Outlets.

Ia mempunyai 381 bilik penginapan mewah menawarkan pemandangan tepi laut dan sekitar pusat bandar termasuk 34 suite.

Selain itu, GuocoLand juga dilaporkan bersedia menjual Thistle Port Dickson Resort yang terletak di Negeri Sembilan.

Hotel itu mempunyai 251 bilik yang berkemungkinan dijual dengan harga antara RM135 juta hingga RM150 juta.

Langkah itu dijangka mengukuhkan lagi kedudukan kewangan syarikat menerusi penjimatan kos penyelenggaraan aset serta pengoptimuman semula strategi pegangan hartanahnya.

GuocoLand, anak syarikat kepada Hong Leong Group, merupakan salah satu pemaju hartanah terkemuka di rantau ini dengan portfolio meliputi pembangunan kediaman, komersial, runcit serta hospitaliti.

Kumpulan itu mempunyai rekod panjang dalam membangunkan projek berimpak tinggi di Singapura, Malaysia, China dan Vietnam. - DagangNews.com

standard