Inta Bina raih kontrak pembinaan kediaman RM67.8 juta di Cyberjaya

29/08/2025 - 11:02
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 28 Ogos – Inta Bina Group Bhd meraih kontrak bernilai RM67.79 juta daripada Symphony Hills Sdn Bhd bagi pembinaan projek kediaman di Symphony Hills, Cyberjaya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Inta Bina berkata, projek itu melibatkan pembinaan 64 unit rumah berkembar berukuran 36 x 80 kaki dan empat unit rumah berkembar berukuran 37 x 80 kaki di Persiaran Simfoni, Cyber 9.
“Kerja pembinaan dijadual bermula pada 29 Ogos dan dijangka siap dalam tempoh 20 bulan pada 28 April 2027.
“Projek ini akan dibiayai melalui dana dalaman serta pinjaman luar dan dijangka menyumbang positif kepada prestasi kewangan syarikat sepanjang tempoh tersebut,” katanya.
Awal bulan ini, Inta Bina turut memperoleh kontrak bernilai RM264.5 juta bagi membina dua blok pangsapuri servis di Segambut, Kuala Lumpur.
Projek itu dianugerahkan oleh GDP Architects Sdn Bhd bagi pihak 368 Segambut Sdn Bhd, usaha sama antara IJM Land Bhd dan FCW Holdings Bhd.
Selain itu, beberapa projek pembinaan kediaman lain yang sedang berjalan ialah di Southville City, Sepang; Ijok, Eco Ardence, Shah Alam; Kuala Langat, Kuala Selangor dan Hulu Langat.
Sehingga akhir Mac 2025, buku pesanan belum dibil syarikat mencecah RM1.5 bilion bagi segmen pembinaan, selain jualan belum dibil sebanyak RM90 juta daripada pembangunan hartanah, sekali gus menjamin kelangsungan aliran pendapatan syarikat untuk dua hingga tiga tahun akan datang. - DagangNews.com
standard

