West River raih kontrak RM16.66 juta kerja elektrik & pencahayaan di Setiawangsa

27/08/2025 - 11:22
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 27 Ogos – West River Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, West River Engineering Sdn Bhd (WRE) memperoleh subkontrak bernilai RM16.66 juta daripada Goodwood Builders Sdn Bhd bagi melaksanakan kerja-kerja elektrik dan pencahayaan untuk projek pembangunan kediaman bertingkat di Setiawangsa.
Projek tersebut melibatkan pembinaan dua blok pangsapuri suite setinggi 44 tingkat yang merangkumi 1,001 unit, dibangunkan oleh Skysierra Development Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, West River bekata, skop subkontrak itu meliputi kerja-kerja elektrik voltan rendah, voltan sangat rendah, serta perkhidmatan pencahayaan.
“Kerja-kerja tersebut adalah sebahagian daripada kontrak utama yang mempunyai tempoh pembinaan selama 20 bulan, bermula 1 Julai 2025 dan dijadualkan siap pada 28 Februari 2027.
“Kontrak ini adalah selaras dengan strategi kumpulan untuk mengembangkan aliran hasil dan akan mengukuhkan buku pesanan sedia ada, sekali gus meningkatkan pendapatan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
West River berkata, projek tersebut akan dibiayai melalui dana dalaman yang dijana sendiri atau pinjaman bank.
“Ia dijangka menyumbang positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat.
“Setelah mempertimbangkan semua aspek dalam surat anugerah (LOA), Lembaga berpendapat penerimaan subkontrak tersebut adalah demi kepentingan terbaik syarikat,” kata West River. - DagangNews.com
standard

