Huawei Melancarkan FreeBuds Pro 4 Dengan HarmonyOS NEXT

TechnologyDigital
27 Nov 2024 • 12:10 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Huawei telah melancarkan FreeBuds Pro 4 sebagai fon telinga pertama dengan HarmonyOS NEXT. Ia juga menampilkan gaya menarik dengan ciri yang tidak terlampau menonjol namun dengan sentuhan elegan dan premium. Ia boleh dilihat terutama pada bahagian pod pengecas yang dilengkapi plat seramik di bahagian belakang.

image is not available

Menyentuh aspek spesifikasi, FreeBuds Pro 4 menggunakan pemandu audio 11mm dengan terdapatnya pad sesentuh pada bahagian sisi. Sebagai contoh untuk memainkan lagu, menjedakan lagu, menukar lagu, menyeru pembantu suara dan menjawab panggilan. Setiap putik audio juga menyokong teknolohi Huawei Sound serba baharu dan bukannya Devialet. Selain itu sokongan audio resolusi tinggi boleh dilakukan menerusi codec SBC, AAC, L2HC 4.0 dan LDAC.

image is not available

Tarikan utama Freebuds 4 Pro mestilah sokongan cip Kirin A2, dan audio spatial melalui HarmonyOS NEXT yang mampu mengurangkan kependaman sebanyak 50% dan meningkatkan bunyi sebanyak 85%. Freebuds 4 Pro juga menyokong aplikasi Huawei Music berasaskan sistem HarmonyOS NEXT dengan beberapa ciri pintar. Antaranya seperti panggilan senyap dua hala, terjemahan secara bersemuka dengan 21 pilihan bahasa, peringatan kelantangan audio AI dan penjejakan pintar untuk menjawab serta menamatkan panggilan.

image is not available

Setiap putik audio juga boleh beroperasi sehingga 6.5 jam tanpa ANC dan 4.5 jam dengan ANC. Melalui bantuan pod pengecas pula pengguna boleh menikmati audio sehingga 33 jam sekali caj. Ia turut boleh dicas penuh dalam masa hanya satu jam melalui pengecasan pantas berwayar, dan mengambil masa kira-kira 150 minit pula untuk pengecasan nirwayar.

Harga jualan rasmi adalah RMB1499 (~RM918) dengan pilihan warna seperti hitam, putih dan hijau.