Huawei MateBook X Pro 2024 kini telah dilancarkan di China, sebagai komputer riba berkuasa paling ringan pernah dikeluarkan oleh Huawei. Ia hanya mempunyai berat 980 gram tetapi ditawarkan dengan cip sehingga Intel Core Ultra 9 yang berkuasa. Ini menjadikannya 30% lebih ringan berbanding X Pro 2023.

Huawei MateBook X Pro 2024 juga dilengkapi skrin 14.2″ OLED 120Hz dengan resolusi 3,120 x 2,080 pixel, dengan sokongan sentuhan 10 jari. MateBook X Pro 2024 turut ditawarkan dengan pilihan cip Intel Core Ultra 7 yang dipadankan dengan memori sehingga 32GB, storan sehingga 2TB SSD dan bateri 70Wh yang menyokong pengecasan 140W.

Pilihan I/O adalah 2x Thunderbolt 4, dan 1X lagi USB-C untuk pengecasan. Papan kekunci hadir dengan sistem lampu terbina, juga pengimbas cap jari pada butang kuasa. Kamera FHD disertakan dengan terdapat empat mikrofon untuk rakaman audio yang jelas. Untuk sistem speaker pula, ia menyokong audio 3D melalui sistem Huawei Sound dengan enam pembesar suara.

Komputer riba ini boleh menjalankan model Pangu AI secara terbina, dan ia boleh menghasilkan sari kata secara masa-nyata dan menghasilkan nota dengan mendengar arahan suara. Harga jualan Huawei MateBook X Pro 2024 bermula daripada RMB 11,998 (~RM 7906) sebuah. Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah akan ditawarkan untuk pasaran global.
