Telefon jenis candybar di dalam tangan anda lazimnya mempunyai nisbah skrin 19.6:9. Ia adalah evolusi daripada 1:1 pada Nokia 3210, 4:3 pada iPhone 3GS dan kemudiannya 18.5:9 pada Galaxy Note8. Huawei telah melancarkan telefon lipat Pura X dengan skrin luar yang lebar. Kini muncul laporan daripada Digital Chat Station mengatakan Huawei akan melancarkan pula telefon candybar dengan skrin lebar 16:10.

Selain skrin lebar, ia turut dikhabarkan hadir dengan kamera utama besar 50MP 1/1.3 inci, sensor periskop kecil 50MP (zum 3x) dan sensor cahaya. Ini kemudiannya dipadankan dengan bateri sebesar 7000 mAh.
Nisbah 16:10 lazimnya digunakan pada komputer riba dan tablet. Tetapi mungkin selepas melancarkan Pura X, Huawei menyedari wujud permintaan pasaran untuk telefon candybar skrin lebar. Ianya lebih munasabah berbanding skrin 1:1 pada Blackberry Passport yang dilancarkan pada tahun 2014.
Idea skrin lebar ini mungkin kedengaran aneh tetapi suatu ketika dahulu telefon skrin besar dan skrin menyeluruh seperti sekarang juga dianggap tidak masuk akal. Huawei sebelum ini memulakan trend trikamera dan penggunaan lensa Leica pada telefon pintar. Siapa tahu mungkin selepas ini, trend telefon skrin 16:10 pula menjadi ikutan.
Sumber – Huawei Central



