johardy09/09/2026 - 17:31 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept - HUBLine Berhad mengesahkan helikopter bernombor pendaftaran 9M-LLF yang terlibat dalam nahas di Long Lellang STOLport, Sarawak pada Selasa dikendalikan anak syarikatnya, Layang Layang Aerospace Sdn. Bhd. (LLA).
Menurut pengumuman kepada Bursa Malaysia hari ini, helikopter itu sedang menjalankan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service atau FDS) dengan lima individu berada di dalamnya termasuk juruterbang ketika kejadian pada 8 September 2026.
Kesemua lima individu itu disahkan meninggal dunia, terdiri daripada juruterbang serta empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan dan dua jururawat.
HUBLine berkata, LLA telah mengaktifkan Pelan Tindak Balas Kecemasan dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan termasuk Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan.
Syarikat itu turut menyampaikan rasa simpati kepada keluarga dan insan tersayang kesemua mangsa serta berkata LLA sedang memberikan segala bantuan yang diperlukan kepada pihak berkuasa.
Lembaga Pengarah HUBLine kini sedang menilai kesan kewangan dan operasi nahas itu terhadap kumpulan, kata syarikat itu di Bursa Malaysia.
Lima terkorban dalam misi FDS
CAAM sebelum ini mengesahkan helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram pada kira-kira 3.40 petang Selasa.
CAAM menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada pukul 3.58 petang.
Menurut polis, maklumat awal menunjukkan helikopter milik persendirian itu disewa bagi operasi FDS yang meliputi perjalanan dari Miri ke Ba Lai, Long Siut dan Long Lellang.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata helikopter yang berlepas dari Miri itu membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan dan dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi, selain seorang juruterbang.
Antara mangsa ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham dan pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin. Dr Ainul, anak kelahiran Kota Bharu, sedang menjalankan misi FDS untuk memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat pedalaman Sarawak ketika nahas berlaku.
Perkhidmatan FDS
FDS diperkenalkan di Sarawak pada 1973 dan menjadi perkhidmatan penting dalam menyediakan rawatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang sukar diakses.
Perkhidmatan itu merangkumi lawatan berkala untuk menyediakan ubat-ubatan dan vaksin serta pemindahan perubatan bagi pesakit kritikal.
Sehingga April lalu, sebanyak 97 lokaliti di kawasan pedalaman Kapit, Miri dan Limbang memerlukan perkhidmatan FDS, dengan kebanyakannya sukar diakses dan terletak jauh daripada rangkaian jalan raya yang mencukupi.
AAIB akan menyiasat nahas itu mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016. - DagangNews.com






