
GUA MUSANG – Hujan lebat dalam tempoh kira-kira setengah jam menyebabkan penduduk di 10 buah kampung di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh di sini semalam terjejas banjir kilat apabila air naik mendadak sehingga mencecah paras pinggang.
Banjir berlaku pada pukul 10 malam sehingga mengakibatkan penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Tekoh di kira-kira empat jam kemudian.
Salah seorang mangsa, Siti Rahayu Samat, 46, berkata, dia pada mulanya hanya menyedari air mula memasuki bahagian dapur rumah sebelum parasnya meningkat dengan cepat.
Katanya, selepas melihat status WhatsApp penduduk di Taman Agropolitan Rantau Manis, dia bersama keluarganya mula bersiap sedia dan mengalihkan barangan ke tempat lebih tinggi.
“Saya pergi meninjau bahagian dapur dan nampak air sudah mula naik. Dalam masa lebih kurang setengah jam, air sudah sampai ke tangga rumah dan terus naik hingga paras pinggang.
“Kami terus alihkan kereta, motosikal dan barang ke tempat tinggi sebelum berpindah ke PPS kira-kira jam 2 pagi,” katanya ketika ditemui di PPS SK Jeram Tekoh di sini hari ini.
Siti Rahayu memberitahu, hujan mula turun dan berterusan pada waktu solat isyak sebelum air naik kira-kira pukul 12 tengah malam.
Katanya, kawasan rumahnya turut dinaiki air pada bulan Julai lalu, namun ketika itu air surut dengan cepat.
“Musim tengkujuh pun belum bermula, jadi harap tidak berlaku lagi. Kami memang letih apabila terpaksa berpindah dan membersihkan rumah yang dimasuki lumpur,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, kawasan yang terjejas antaranya Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru, RKT Sungai Asap A dan B, Taman Agropolitan Rantau Manis, RKT Kesedar Jeram Tekoh, Kampung Limau Kasturi, Kampung Serian Batu 11 dan 12 serta Kampung Jelekang.
Katanya, hujan lebat kira-kira 100 milimeter sekali gus menyebabkan kenaikan paras air berlaku agak drastik. – KOSMO! ONLINE
The post Hujan lebat setengah jam, 10 kampung terjejas banjir kilat appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] Hujan lebat hampir sejam, kawasan Lembah Klang banjir](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/banjir-lembah-klang-1024x682.jpeg)



