
PETALING JAYA: Pelakon, Diana Danielle, meluahkan rasa bimbang dengan tahap kesedaran penganjur bola sepak yang masih rendah kerana berani meneruskan aktiviti bermain bola sepak meskipun dalam keadaan cuaca mendung dan berisiko dipanah petir.
Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 35, berkata, dia berasa hairan melihat ramai yang seolah-olah tidak takut dengan risiko petir dan masih meneruskan perlawanan walaupun keadaan cuaca di sekeliling sudah gelap dan membahayakan.
“Saya ada nampak satu hantaran mengenai seorang pemain bola sepak meninggal dunia akibat dipanah petir di Thailand, baru-baru ini. Jujurnya, di Malaysia sendiri tahap kesedaran mengenainya masih sangat rendah.
“Bila saya teman anak-anak ke padang bola sepak, saya jadi sangat takut lihat keadaan cuaca. Hari sudah mendung mahu hujan dan bunyi petir sudah kedengaran di kawasan sekitar, tetapi perlawanan masih tetap diteruskan,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Mengulas pengalaman sendiri, Diana mendedahkan dia pernah berdepan detik menakutkan apabila petir menyambar bangunan yang terletak tepat di hadapan padang.
“Pernah ada satu ketika, petir menyambar betul-betul di bangunan depan padang. Bersepah ibu bapa dan anak-anak lari untuk cari tempat berteduh.
“Padahal sudah jelas perlawanan sepatutnya dihentikan, tetapi tiada sebarang tindakan daripada pihak penganjur. Kejadian itu sangat menakutkan,” katanya.
Terdahulu, seorang pemain bola sepak Thailand maut manakala 12 yang lain cedera, termasuk seorang pemain warga Malaysia, selepas disambar petir di Stadium Santiphap, Sungai Golok, semasa perlawanan Piala FA Golok pada petang Selasa, 4 Ogos 2026.
The post Hujan, petir sudah kedengaran pun pertandingan masih diteruskan – Diana Danielle appeared first on Utusan Malaysia.





