Pemain Yala FC maut dipanah petir, seorang rakyat Malaysia cedera

5 Aug 2026 • 9:23 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pemain Yala FC maut dipanah petir, seorang rakyat Malaysia cedera

SUNGAI GOLOK, THAILAND – Perlawanan separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala FA Golok 2026 antara pasukan gabungan Thailand-Malaysia, Sam Colt dan Abu Nong Sirin bertukar tragedi apabila seorang pemain Yala FC maut disambar petir di Stadium Santiphap, di sini semalam.

Dalam insiden pukul 5.30 petang itu, mangsa, Sofwan Awae, 24, yang berasal dari Daerah Waeng, Narathiwat, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang rakyat Malaysia, Mohamad Alif Ezzahan Zulkifli, 22, turut cedera dalam kejadian itu.

Turut mengalami kecederaan ialah Somchai Longmihna, 25, Sakirin Tikasom, 36, Sakariya Koleh, 38, Hamirul Cheh Asa, 32, Saranant Sathavorn, 37, Mayusaran Kaso, 31, Fatel Baka, 19; Suhaimi Rohman, 28, Anas Dulyaseree dan Khairy Layeng.

Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Thun Sirikhunt berkata, siasatan awal mendapati, hujan lebat dan angin kencang melanda stadium berkenaan sebelum petir menyambar di tengah padang ketika perlawanan sedang berlangsung.

Katanya, Sofwan yang beraksi bersama Abu Nong Sirin rebah selepas disambar petir, manakala 11 pemain lain turut mengalami kecederaan.

“Beberapa rakan Sofwan cuba memberikan bantuan kecemasan sebelum petugas perubatan kecemasan Yayasan Sheng Mu Tharn Namjai, Sungai Golok tiba di lokasi, namun mangsa gagal diselamatkan.

“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Golok untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sirikhunt berkata, Mohamad Alif Ezzahan yang mewakili pasukan Sam Colt mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan.

Kejohanan tersebut merupakan pertandingan bola sepak tempatan yang terbuka kepada penyertaan dari pelbagai wilayah di Selatan Thailand dan Malaysia. – KOSMO! ONLINE

The post Pemain Yala FC maut dipanah petir, seorang rakyat Malaysia cedera appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved