Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Isu disiplin di sekolah sering menjadi topik panas dalam kalangan ibu bapa dan guru. Terbaru, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, tampil memberikan pencerahan mengenai status hukuman merotan murid yang sering menimbulkan tanda tanya orang ramai.
Menurut beliau, hukuman rotan di sekolah sebenarnya tidak pernah dimansuhkan, sebaliknya masih dibenarkan mengikut peraturan dan tatacara sedia ada.
Walau bagaimanapun, Fadhlina menegaskan bahawa hukuman berkenaan hanya boleh dikenakan terhadap pelajar lelaki bagi kesalahan tertentu sahaja. Pelaksanaannya pula tertakluk kepada kuasa dan prosedur yang sangat ketat.
Artikel berkaitan: Fadhlina Dedah Dewan Sekolah Tiada CCTV, Nafi Irene Sofiya Diseret Dari Surau
Artikel berkaitan: “Memberi keringanan kepada ibu bapa” – Fadhlina Sokong Inisiatif Beli Baju Sekolah Secara Ansuran
“Hukuman tersebut hanya boleh dilaksanakan oleh guru besar, pengetua atau guru yang diberikan kuasa secara nyata oleh guru besar atau pengetua. Ia tertakluk kepada tata cara tertentu.
Hukuman tidak boleh dilakukan sesuka hati, tidak boleh dilakukan kerana marah dan tidak boleh sehingga mendatangkan kecederaan,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa setiap hukuman yang dikenakan mestilah mempunyai asas yang jelas serta direkodkan secara rasmi mengikut ketetapan berkuat kuasa.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga akan memperincikan semula tatacara ini dari semasa ke semasa agar sekolah, ibu bapa, dan masyarakat umum mendapat kefahaman yang lebih jelas.
11 Langkah Tambahan Tingkat Keselamatan & Disiplin
Bagi menangani isu disiplin secara menyeluruh, KPM telah mula melaksanakan 11 langkah tambahan secara berperingkat sejak Oktober 2025. Langkah ini memperjelaskan kuasa menangani kes disiplin kepada pengetua, guru besar, dan jawatankuasa disiplin, selain membolehkan kuasa tersebut diturunkan kepada guru kerana pada hakikatnya semua guru berperanan sebagai guru disiplin.
Selain itu, KPM turut menambah baik Sistem Sahsiah Diri Murid kepada Sistem Salah Laku Disiplin Murid bagi memberi tumpuan khusus kepada usaha pencegahan salah laku.
Fadhlina menegaskan bahawa KPM mahu perbaikkan keselamatan dan disiplin ini benar-benar memberi kesan positif yang dapat dirasai oleh murid, guru, serta ibu bapa, bukannya sekadar berhenti pada minit mesyuarat atau dokumen sahaja.
Sumber: Sinar Harian
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.




