
KUALA LUMPUR: Guru besar, pengetua atau guru yang diberikan kuasa secara nyata oleh pentadbir sekolah masih dibenarkan merotan murid.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, ia sekaligus menunjukkan hukuman rotan di sekolah tidak pernah dimansuhkan.
Beliau berkata, peraturan sedia ada membenarkan hukuman rotan terhadap murid lelaki bagi kesalahan tertentu.
“Ia juga tertakluk kepada tatacara tertentu. Hukuman tidak boleh dilakukan sesuka hati, tidak boleh dilakukan kerana marah dan tidak boleh sehingga mendatangkan kecederaan.
“Setiap hukuman perlu mempunyai asas yang jelas dan direkodkan mengikut ketetapan yang berkuat kuasa.
“Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperincikan semula tatacara ini supaya sekolah, ibu bapa dan masyarakat memahami dengan jelas apa yang dibenarkan dan apa yang tidak dibenarkan,” katanya semasa sidang akhbar di Pusat Media Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas gesaan banyak pihak agar hukuman rotan dikembalikan susulan beberapa kes kematian yang berlaku di sekolah termasuk kes terkini di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, kelmarin. – UTUSAN
The post Guru besar masih ada kuasa merotan murid appeared first on Utusan Malaysia.





