Hulu Sungai Pahang kaya mineral kuarza

LocalEnvironment
13 Sep 2026 • 10:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Hulu Sungai Pahang kaya mineral kuarza

FENOMENA Sungai Pahang yang kering sepanjang kira-kira enam kilometer mendapat perhatian ramai dan terus mencetuskan pelbagai persoalan.

Kawasan yang dahulunya menjadi lubuk ikan itu kini bagaikan padang pasir apabila boleh dilalui dengan berjalan kaki atau menaiki motosikal.

Keadaan ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk memandangkan kawasan yang kering semakin bertambah setiap tahun dan fenomena ini terus menjadi persoalan banyak pihak.

Bagi mengupas isu ini wartawan Kosmo! Ahad, Abdul Rashid Abdul Rahman menemu bual Pengarah Kanan Pusat Transisi Iklim dan Risiko Bencana Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Profesor Ir. Dr. Mohd. Faizal Jamlos.

Turut serta pensyarah-pensyarah UMPSA lain iaitu Prof. Madya Ts Dr. Nurul Nadrah Aqilah Tukimat, Gs. Dr. Syarifuddin Misbari, Ts Dr. Noor Suraya Romali dan Ts. Dr. Roziah Zailan.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai antara jenis pasir atau kandungan mineral yang terhasil Kosmo! Ahad turut menemu bual Pengarah Pusat Kelestarian Mineral Dan Teknologi Pemulihan Sumber (SMaRRT Center) UMPSA, Prof Madya Dr. Mohd. Yuhyi Mohd. Tadza.

 

KOSMO! AHAD : Bagaimanakah Dr. melihat fenomena di Kampung Pesagi ini yang menyaksikan trend sungai yang kering dalam jangka masa panjang?
MOHD. FAISAL bersama pensyarah Fakulti Kejurutera­an Elektrik dan Elektronik UMPSA: Berdasarkan pemerhatian semasa, paras air Sungai Pahang di sekitar Kampung Pesagi dilaporkan berada pada keadaan sangat surut sejak akhir Januari 2026 dan berterusan hingga memasuki tempoh secara klimatologi lebih kering.

Monsun Timur Laut lazim­nya bermula dari November hingga Mac diikuti fasa peralihan monsun sebelum bermulanya Monsun Barat Daya sekitar akhir Mei hingga September, yang secara relatifnya membawa keadaan lebih kering di Semenanjung.

Walaupun unjuran hujan jangka panjang menunjukkan kemungkinan peningkatan jumlah hujan tahunan, analisis Stan­dardized Precipitation Index (SPI) menunjukkan episod kering masih berpotensi berlaku, khususnya pada pertengahan tahun.

Kajian terdahulu bagi Negeri Pahang mengunjurkan nilai SPI boleh menurun sehingga sekitar -2.2 pada Mei dan -1.5 pada September, menunjukkan keadaan sangat kering hingga ekstrem kering yang berpotensi meningkatkan risiko kemarau.

Bagi tempoh 2040-2069, potensi corak kering diunjurkan sekitar 3.3 peratus berbanding 2.5 peratus pada 2018-2039.

Bagaimana kesan El-Nino dikaitkan dengan sungai kering?
Keadaan kering bermusim boleh dipengaruhi variabiliti iklim berskala besar seperti El Nino.

El Nino terbentuk Jun lalu dan terus mengukuh hingga Ogos ini.

Kini El Nino memasuki fasa sederhana yang boleh dikaitkan dengan hujan di bawah purata di Semenanjung yang boleh me­ningkatkan kebarangkalian kea­daan lebih kering.

Pengaruhnya terhadap paras air Sungai Pahang perlu dinilai bersama faktor tempatan se­perti taburan hujan, aliran sungai, penggunaan air dan perubahan morfologi saluran.

Pada masa sama, keadaan ke­ring bermusim ini juga berpotensi dipengaruhi oleh perkembangan El Nino. Pada 2026, nilai Relative Oceanic Nino Index (RONI) meningkat sehingga sekitar 1.0 bagi tempoh Mei, Jun dan Julai menunjukkan El Nino mema­suki fasa sederhana berpotensi mengurangkan hujan dan mempercepatkan penurunan paras air sungai.

Bagaimanapun, keadaan surut di Kampung Pesagi belum mencukupi untuk disimpulkan sebagai bukti krisis air jangka panjang.

Penentuan itu memerlukan analisis trend jangka panjang terhadap hujan, paras dan aliran sungai, indeks aliran rendah, kemarau hidrologi serta perubahan morfologi dan sedimentasi ­Sungai Pahang.

Apakah faktor utama menyebabkan pemendapan pasir yang berlaku dan terus bertambah dari masa ke masa?

Image from: Hulu Sungai Pahang kaya mineral kuarza
MOHD. FAIZAL berkata, keadaan surut di Kampung Pesagi sahaja belum mencukupi untuk disimpulkan sebagai bukti krisis air jangka panjang.

Dari sudut geologi (sumber batuan dan litologi), mendapan daratan pasir yang ekstrem tersebut disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah disebabkan oleh hulu Sungai Pahang merupakan kawasan kaya dengan batuan granit me­rentasi Banjaran Titiwangsa.

Batuan granit mempunyai kandungan mineral kuarza yang sangat tinggi. Granit ini akan terurai menjadi butiran pasir kuarza yang keras, tidak mudah hancur dan dibawa ke hilir sungai de­ngan jumlah sangat besar.

Faktor ini membentuk daratan pasir baharu dan terlihat semasa musim kering apabila paras air sungai turun dengan ketara.

Selain itu, kadar proses luluhawa fizikal dan kimia di kawasan beriklim Khatulistiwa adalah sangat tinggi. Proses ini menghasilkan bekalan sedimen pasir yang berterusan.

Dapatan mendapati Sungai Pahang kawasan kaya dengan batuan granit yang turut mengandungi mineral kuarza yang sangat tinggi, apakah kuarza ini dan adakah ia bernilai?
Kuarza adalah sejenis mineral dalam bentuk kristal silika dioksida. Asas dia adalah silika dan oksigen yang bergabung dalam struktur yang tertentu menjadi mineral kristal yang teguh.

Ia adalah hasil pecahan batuan granit yang menghasilkan pasir kuarza. Batu-batu bukit dan gunung dengak hulu yang sudah terhakis dibawa air ke sungai dan termendap mengikut berat, lagi halus lagi jauh ke hilir ia pergi.

Nilainya adalah bergantung kepada jenis batuan asalnya dan kepada kualiti yang mana boleh mencapai harga AS$900 (RM3,650) satu tan.

Apakah kegunaannya?
Kegunaannya bergantung pada purity. Gred biasa digunakan dalam pembinaan atau ­proses penapisan rawatan air.

Gred berkualiti tinggi digunakan boleh digunakan dalam industri semi konduktor, membuat kaca, cermin jam dan sebagainya. Ia juga
digunakan untuk membuat cat, kertas, barangan elektronik membuat precision dalam penentuan masa jam.

Adakah ia boleh menjadi sumber kekayaan kepada ne­geri dan negara?
Ia memang perlu dibawa keluar bagi mendalamkan su­ngai disebabkan rizab air semakin kurang terutama di musim kemarau. Jadi, boleh mendalamkan sungai dan menjual bahan tersebut. Kalau jual terus harga murah berbanding selepas diproses.

Bagaimana dengan faktor-faktor menyebabkan mendapan pasir lain termasuk pe­nebangan hutan dan banjir besar?
Faktor lain dari sudut geologi adalah faktor antropogenik dan persekitaran. Penebangan hutan, penerokaan tanah untuk pertanian seperti di Cameron Highlands dan pembangunan di lembangan sungai meningkatkan kadar ha­kisan permukaan tebing sungai.

Hujan membawa tanah dan pasir terhakis itu terus ke dalam sungai menyebabkan kadar sedimentasi yang tinggi.

Bukan itu sahaja, arus deras sungai semasa musim tengkujuh menghanyutkan jutaan tan sedimen dari hulu sungai. Sedimen kasar akan terperangkap di hilir sungai dan terdedah apabila paras sungai turun mendadak semasa musim kering.

Dari sudut geomorfologi su­ngai, pemendapan pasir luas dan tebal ini kerana kawasan hilir Sungai Pahang landai (kecerunan rendah).

Kawasan landai menyebabkan tenaga kinetik air berkura­ngan menyebabkan sungai tidak berupaya mengangkut sedimen ke tempat lain dan mendap di dasar sungai. Ia muncul sebagai daratan baharu pada musim kering.

Apabila tiba musim kering, halaju air sungai perlahan tidak mampu menghanyut dan mengapungkan pasir dan kelikir (sedimen). Kesannya, proses mendapan dominan berlaku, di mana mendapan basahan dasar (bedload) terhenti dan berkumpul.

Selain itu, Sungai Pahang adalah sungai matang (bukan baharu). Sungai ini mempunyai bilangan likuan yang banyak. Di bahagian liku sungai, sedimen paling banyak termendap kerana halaju air sangat perlahan. Ia menjadi tempat pengumpulan pasir berskala mega.

Bagaimana dengan aktiviti di hulu, tebing dan di dalam sungai ditambah dengan perubahan iklim yang boleh beri kesan kepada fenomena ini?
Perubahan iklim boleh mempengaruhi keadaan sungai melalui perubahan pola hujan serta pengurangan aliran ketika musim kering.

Pada masa sama, perubahan guna tanah dan aktiviti manusia di kawasan hulu juga merupakan antara faktor perlu dinilai dalam memahami proses penghasilan dan pengangkutan sedimen.

Penyahutanan dan pembersihan tanah boleh me­ngurangkan perlindungan permukaan tanah oleh vegetasi dan meningkatkan potensi hakisan serta kemasukan sedimen ke dalam sistem sungai ketika hujan lebat.

Sedimen itu kemudian boleh termendap di kawasan mempu­nyai halaju aliran lebih rendah dan menyumbang kepada perubahan aras dasar sungai.

Aktiviti pengambilan pasir pula perlu dinilai berdasarkan lokasi, skala dan kaedah pelaksanaannya kerana merupakan sebahagian daripada proses yang boleh mempengaruhi keseimbangan sedimen dan morfologi sungai.

Oleh itu, kesan sesuatu akti­viti tidak boleh ditentukan secara umum tanpa kajian terperinci terhadap perubahan guna tanah, hidrologi, pengangkutan sedimen dan morfologi sungai.

Apakah kaedah yang dilihat efisien dalam usaha menangani isu ini dan adakah pengorekan pasir menjadi satu solusi utama?
Solusi dalam isu ini memerlukan pendekatan kejuruteraan geologi yang mesti digabungkan dengan teknik pemuliharaan berasaskan alam semula jadi.

Pengorekan secara rakus tanpa perancangan boleh me­runtuhkan tebing kerana mengganggu sudut rehat sedimen dasar sungai.

Kaedah pengorekan perlu ter­arah dan selektif. Aktiviti me­ngorek keseluruhan lebar su­ngai adalah tidak dicadangkan. Pe­ngorekan harus difokuskan ­hanya pada jalur yang spesifik iaitu garisan alur terdalam di mana aliran air paling laju.

Ini mengekalkan profil cerun semula jadi berhampiran tebing supaya tanah tidak menggelongsor masuk ke kawasan dikorek.

Selain pengorekan, apakah solusi lain boleh diambil?
Pembinaan struktur yang melintang rendah. Struktur batu atau kayu yang dipasang condong dari tebing menghala ke arah hulu sungai. Ia berfungsi mengalihkan tenaga arus deras dari tebing ke arah tengah alur.

Kesannya, air akan mengikis dan mendalamkan alur tengah secara semula jadi melalui pro­ses self-flushing atau pencucian sendiri.

Manakala, kawasan berhampiran tebing menjadi zon air tenang yang menggalakkan pemendapan pasir untuk mengukuhkan kaki tebing.

Selain itu Solusi biokejurute­raan tanah. Menggantikan struktur konkrit keras dengan kombinasi bahan semula jadi.

Penggunaan geotekstil biodegradable seperti sabut kelapa atau coir geotextiles digabungkan dengan penanaman tumbuhan berakar dalam dan mencengkam seperti rumput vetiver atau pokok riparian tempatan.

Geotekstil menahan tanah tebing daripada terhakis buat sementara waktu sementara me­nunggu akar tumbuhan matang dan mengikat struktur geologi tebing secara kekal.

Biokejuruteraan boleh membantu mengawal hakisan dan menstabilkan tebing sambil memulihkan vegetasi sungai.

Kajian morfologi dan sedimen wajib dijalankan terlebih dahulu sebelum dredging untuk menentukan profil kedalaman dan keratan rentas sungai, lokasi pemendapan sedimen, kadar dan arah aliran, kawasan hakisan tebing, jenis dan kestabilan tanah tebing dan kualiti kandungan pencemar dalam sedimen.

Ini penting kerana dredging boleh meningkatkan kekeruhan dan mengganggu habitat. Kajian kualiti sedimen dan pencemaran sebelum kerja dredging penting bagi menentukan risiko dan kaedah mitigasi.

The post Hulu Sungai Pahang kaya mineral kuarza appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved