
MARAN – Hujan lebat selama hampir tiga jam masih belum mampu mengembalikan keadaan asal Sungai Pahang di Kampung Pesagi di sini dengan sebahagian besar kawasannya kekal kering dan dipenuhi pasir.
Hujan bermula pukul 6.30 petang hingga 9.30 malam kelmarin sebaliknya hanya menghasilkan beberapa lopak dan alur air, dibandingkan kawasan kering yang masih jauh lebih luas.
Sebelum itu, lebih 40 penduduk Kampung Pesagi melakukan solat sunat Istisqa’ selepas solat Jumaat bagi memohon hujan dengan harapan paras Sungai Pahang kembali meningkat dan aktiviti penduduk yang bergantung kepada sungai dapat diteruskan seperti biasa.
Solat berkenaan diimamkan Qadhi Daerah Maran, Zainuddin Zakaria sebagai ikhtiar memohon keampunan serta rahmat Allah agar hujan diturunkan dan keadaan Sungai Pahang kembali seperti sediakala.
Difahamkan, solat sunat berkenaan pernah dilakukan di kawasan itu pada Jun 2023
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pesagi, Mohd. Shukri Mat Nor berkata, pihaknya bersyukur dengan adanya hujan, namun jumlah air yang diterima belum mencukupi untuk memulihkan sungai.
“Ada lopak air dan alur air, tetapi kawasan kering masih lagi luas. Kita harap hujan akan terus berlaku agar Sungai Pahang kembali seperti asal. Sungai ini menjadi sumber pendapatan penduduk, terutama nelayan darat dan penternak ikan.
“Kami juga berharap aliran air dari hulu Jerantut akan sampai ke sini dan membawa sedikit perubahan, sekurang-kurangnya menambah paras air Sungai Pahang di Kampung Pesagi,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Beliau berkata, keadaan Sungai Pahang di Kampung Pesagi kini jauh berbeza apabila kawasan yang dahulunya mempunyai aliran deras dan lubuk ikan bertukar menjadi daratan berpasir.
Keadaan itu turut menjejaskan penduduk yang bergantung kepada hasil sungai untuk mencari rezeki apabila aktiviti menangkap dan menternak ikan tidak dapat dijalankan.
Katanya, sebahagian nelayan darat terpaksa meletakkan bot di Kampung Pejing yang terletak lebih dua kilometer dari Kampung Pesagi bagi memudahkan mereka keluar mencari ikan.
“Penduduk juga terpaksa mencari sumber rezeki lain termasuk menoreh getah,” katanya.
Kosmo! pada 25 Ogos lalu melaporkan, Sungai Pahang di Pesagi di sini semakin kering sehingga boleh dilalui oleh pejalan kaki dan penunggang motosikal, malah terdapat kawasan yang sudah ditumbuhi rumput.
The post Penduduk buat solat sunat di Sungai Pahang appeared first on Kosmo Digital.






