
KUANTAN – Hamparan putih di Sungai Pahang bukan sekadar sekadar pasir biasa, namun terkandung mineral bernilai tinggi termasuk kuarza yang digunakan dalam industri dengan harganya boleh mencecah sehingga RM3,657 satu tan.
Berdasarkan dapatan dari sudut geologi, mendapan daratan pasir yang ekstrem di sungai berkenaan antaranya disebabkan oleh hulu Sungai Pahang merupakan kawasan yang kaya dengan batuan granit yang mempunyai kandungan mineral kuarza yang sangat tinggi.
Granit ini akan terurai menjadi butiran pasir kuarza yang keras, tidak mudah hancur dan dibawa ke hilir sungai de-ngan jumlah yang sangat besar seterusnya membentuk daratan pasir baharu.
Biasanya, kuarza yang wujud dalam bentuk habrul heksagon digunakan secara meluas dalam pembuatan kaca, elektronik, seramik, pembinaan, dan optik.
Mengulas lanjut, Pengarah Pusat Kelestarian Mineral Dan Teknologi Pemulihan Sumber (SMaRRT Center) UMPSA, Prof Madya Dr. Mohd. Yuhyi Mohd. Tadza berkata, kuarza adalah hasil pecahan batuan granit yang menghasilkan pasir kuarza.
Katanya, meskipun tiada kajian terperinci dilakukan di Sungai Pahang setakat ini, kuarza sememangnya bernilai dan boleh memberikan satu sumber kekayaan kepada negeri dan negara.

Malah menurut beliau, harga pasir kuarza berbeza mengikut kualiti selepas melalui pemprosesan sehingga ada yang mencecah RM3,657 untuk satu tan.
“Kuarza biasa yang digunakan untuk pembinaan mempunyai pelbagai peringkat kualiti yang sangat diperlukan dalam industri.
“Batu-batu bukit dan gunung di hulu yang sudah terhakis dibawa air ke sungai dan termendap mengikut berat, lagi halus lagi jauh ke hilir ia pergi.
“Nilainya adalah bergantung kepada jenis batuan asalnya dan kualiti selepas melalui proses tertentu,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Menurut Dr. Mohd. Yuhyi, kegunaannya bergantung kepada kualiti dan keaslian yang mana gred biasa digunakan untuk pembinaan atau dalam proses penapisan rawatan air.
“Bagi kuarza yang berkualiti tinggi, bahan ini digunakan dalam banyak benda lain dalam industri semi konduktor, membuat kaca, cermin jam dan sebagainya.
“Ia juga mempunyai banyak kegunaan untuk membuat cat, kertas, barangan elektronik dan membuat ‘precision’ dalam penentuan jam.
Dalam pada itu katanya, sekiranya kajian terperinci mendapati terdapat kuarza berkualiti tinggi, ia boleh diproses dan dijual dengan harga yang lebih tinggi.
Katanya, adalah rugi sekiranya pasir yang mempunyai kuarza yang berkualiti tinggi dijual terus tanpa diproses kerana harganya akan lebih murah.
The post ‘Pasir emas’ Sungai Pahang appeared first on Kosmo Online.



