Hutang BNPL cecah RM5.3 bilion, kerajaan perketat kawal selia - PM Anwar

LocalBusiness & Finance
16 Jul 2026 • 3:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hutang BNPL cecah RM5.3 bilion, kerajaan perketat kawal selia - PM Anwar Image from: Hutang BNPL cecah RM5.3 bilion, kerajaan perketat kawal selia - PM Anwar liza16/07/2026 - 15:06 Gambar hiasan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Julai – Kerajaan akan memperketatkan kawal selia industri Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) ekoran peningkatan penggunaan kemudahan kredit itu yang menyaksikan baki hutang pengguna mencecah RM5.3 bilion setakat akhir Mac 2026.

 

Jumlah tersebut meningkat sebanyak RM400 juta berbanding RM4.9 bilion yang direkodkan pada penghujung 2025 yang menunjukkan permintaan terhadap kaedah pembayaran itu terus berkembang dalam tempoh hanya tiga bulan.

 

Perkembangan tersebut turut menunjukkan BNPL semakin menjadi pilihan pengguna khususnya golongan muda yang memanfaatkannya bagi urusan pembelian harian dan pembayaran bernilai kecil tanpa perlu membuat bayaran penuh secara sekali gus.

 

Sehubungan itu, kerajaan mewajibkan semua penyedia perkhidmatan BNPL mendapatkan lesen daripada Suruhanjaya Kredit Pengguna (CCC) bagi memastikan hanya pengendali yang memenuhi syarat kawal selia, tadbir urus dan perlindungan pengguna dibenarkan beroperasi.

 

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memandang serius terhadap pertumbuhan pesat penggunaan BNPL dan berpandangan perkembangan sektor itu perlu disertai perlindungan pengguna yang lebih kukuh.

 

“Langkah itu penting bagi memastikan kemudahan kredit tersebut terus digunakan secara berhemah dan bertanggungjawab tanpa menjejaskan kedudukan kewangan pengguna,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab pertanyaan mengenai perkembangan penggunaan BNPL di Malaysia.

 

Anwar berkata, setakat akhir Mac lalu, jumlah tunggakan BNPL adalah sebanyak RM181 juta atau bersamaan 3.4% daripada keseluruhan baki pinjaman tertunggak.

 

t

 

Pada masa sama, terdapat kira-kira lapan juta pemegang akaun BNPL yang masih aktif di seluruh negara, membuktikan kemudahan itu semakin diterima sebagai alternatif kepada kaedah pembayaran konvensional.

 

Bagaimanapun, beliau menjelaskan keseluruhan hutang BNPL masih berada pada paras yang rendah kerana hanya mewakili kira-kira 0.3% daripada jumlah hutang isi rumah negara setakat akhir 2025.

 

Menurut beliau, sekitar 40% daripada pengguna BNPL terdiri daripada individu berusia 30 tahun dan ke bawah, menjadikan golongan muda sebagai kumpulan paling aktif menggunakan kemudahan berkenaan.

 

Katanya, kebanyakan transaksi BNPL melibatkan pembelian barangan keperluan harian seperti makanan, barangan runcit, pengangkutan dan pelbagai perkhidmatan lain, dengan purata nilai setiap transaksi kurang daripada RM100.

 

Anwar berkata, bakal pengendali BNPL diberikan tempoh sehingga 30 November 2026 untuk mengemukakan permohonan lesen kepada CCC.

 

Dalam tempoh itu, CCC akan terus mengadakan sesi libat urus dengan penyedia perkhidmatan BNPL bagi memastikan mereka memahami serta memenuhi semua keperluan pelesenan sebelum rangka kerja kawal selia baharu itu dilaksanakan sepenuhnya.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved