Hutang Kerajaan Persekutuan naik 5.9% kepada RM1.321 trilion - Laporan Ketua Audit Negara

LocalBusiness & Finance
5 Oct 2026 • 11:01 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hutang Kerajaan Persekutuan naik 5.9% kepada RM1.321 trilion - Laporan Ketua Audit Negara Image from: Hutang Kerajaan Persekutuan naik 5.9% kepada RM1.321 trilion - Laporan Ketua Audit Negara johardy05/10/2026 - 11:01 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Okt - Hutang Kerajaan Persekutuan meningkat 5.9% kepada RM1.321 trilion pada 2025, sekali gus mendorong peningkatan kos khidmat hutang meskipun hasil yang lebih tinggi membantu kerajaan mengecilkan defisit fiskal, menurut Laporan Ketua Audit Negara Siri 2/2026.

 

Hutang Kerajaan Persekutuan bertambah RM73.162 bilion daripada RM1.248 trilion pada 2024, menurut laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin.

 

Bayaran khidmat hutang meningkat RM3.23 bilion atau 6.4% kepada RM53.711 bilion pada 2025, mencerminkan peningkatan kos untuk kerajaan membayar komitmen hutangnya.

 

 

 

 

 

Bayaran itu merangkumi 16.2% daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus sebanyak RM330.776 bilion, meningkat berbanding 14.1% pada 2022.

 

Bayaran khidmat hutang merangkumi faedah ke atas instrumen pinjaman Kerajaan Persekutuan, diskaun ke atas Bil Perbendaharaan, bayaran keuntungan bagi Terbitan Pelaburan Kerajaan serta fi pengurusan pinjaman dalam dan luar negeri.

 

Walaupun beban hutang meningkat, Malaysia berjaya mengecilkan defisit fiskal kepada 3.7% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2025 berbanding 4.1% setahun sebelumnya.

 

Ketua Audit Negara berkata, secara keseluruhan prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan bertambah baik pada tahun berkenaan apabila defisit berkurangan sebanyak RM3.878 bilion.

 

Hasil meningkat sokong konsolidasi fiskal

Hasil Kerajaan Persekutuan meningkat RM11.451 bilion kepada RM336.069 bilion pada 2025 daripada RM324.618 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Perbelanjaan mengurus berjumlah RM330.776 bilion, menghasilkan lebihan hasil sebanyak RM5.293 bilion berbanding RM3.109 bilion pada 2024.

 

Baki defisit Kumpulan Wang Pembangunan berkurangan RM1.118 bilion atau 10.6% kepada RM9.420 bilion daripada RM10.538 bilion setahun sebelumnya.

 

Kerajaan turut mengurangkan pinjaman baharu meskipun jumlah keseluruhan hutangnya meningkat.

 

 

 

 

 

 

Jumlah pinjaman berkurangan 8.2% atau RM16.671 bilion kepada RM185.577 bilion pada 2025 daripada RM202.248 bilion pada 2024.

 

Angka berkenaan menunjukkan Malaysia terus mencatat kemajuan dalam usaha konsolidasi fiskal pada 2025, namun peningkatan bahagian perbelanjaan mengurus yang diperlukan untuk membayar khidmat hutang terus menjadi kekangan kepada kedudukan kewangan kerajaan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved