johardy05/10/2026 - 18:39 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Okt - Pensonic Holdings Berhad mencatatkan kerugian bersih beraudit sebanyak RM1.11 juta bagi FY2026 berbanding keuntungan RM637,648 yang dilaporkan sebelum ini, terutamanya selepas mengiktiraf kerugian rosot nilai tambahan bagi acuan pembuatan.
Kerugian yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026 itu mencerminkan pelarasan negatif sebanyak RM1.75 juta berbanding keputusan belum diaudit yang diumumkan pada 31 Julai.
Pensonic mendedahkan semakan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini bagi mematuhi keperluan penyenaraian berhubung perbezaan sebanyak 10% atau lebih antara keputusan belum diaudit yang diumumkan dengan penyata kewangan beraudit.
Pelarasan itu terutamanya berpunca daripada kerugian rosot nilai tambahan bagi acuan sebanyak RM1.62 juta serta kesan cukai berkaitan yang diiktiraf ketika penyata kewangan beraudit dimuktamadkan.
Syarikat itu berkata, kerugian rosot nilai tersebut diiktiraf selepas penilaian semula terhadap kebolehpulihan nilai acuan dengan mengambil kira keadaan pasaran semasa dan trend permintaan produk.
Jumlah kerugian rosot nilai acuan yang diiktiraf bagi FY2026 adalah kira-kira RM2.5 juta, termasuk RM859,648 yang sudah diambil kira dalam keputusan belum diaudit.
Ketidaktentuan permintaan jejaskan nilai acuan
Menurut Pensonic, hanya kerugian rosot nilai tambahan dan kesan cukai berkaitan menyumbang kepada perbezaan antara keputusan belum diaudit dengan keputusan beraudit.
Rosot nilai itu terutamanya melibatkan acuan bagi rangkaian produk tertentu yang terjejas oleh ketidaktentuan permintaan, serta acuan yang tidak digunakan atau hanya digunakan secara terhad.
Walaupun kerugian rosot nilai itu bersifat bukan tunai, syarikat berkata, ia memberi kesan ketara terhadap prestasi kewangan kumpulan bagi tahun berkenaan.
Dengan mengambil kira kepentingan bukan kawalan, kumpulan mencatatkan kerugian selepas cukai beraudit sebanyak RM1.54 juta berbanding keuntungan belum diaudit sebanyak RM203,987.
Kerugian yang boleh diagihkan kepada kepentingan bukan kawalan kekal pada RM433,661. - DagangNews.com






