Hutang Pestec cecah RM158.5 juta, jejaskan kedudukan kewangan bagi FY26

LocalBusiness & Finance
7 Sep 2026 • 2:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hutang Pestec cecah RM158.5 juta, jejaskan kedudukan kewangan bagi FY26 Image from: Hutang Pestec cecah RM158.5 juta, jejaskan kedudukan kewangan bagi FY26 amree07/09/2026 - 14:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 SeptPestec International Berhad berdepan tekanan kewangan yang ketara apabila hutang semasa kumpulan melebihi aset sebanyak RM158.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, selain amaran juruaudit mengenai ketidakpastian keupayaan meneruskan operasi.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata isu liabiliti itu turut berkait dengan ketidaktentuan aset kontrak bernilai RM50.31 juta di Iraq, susulan konflik Timur Tengah dan gangguan operasi yang menyukarkan pengesahan kemajuan projek serta tuntutan bayaran daripada pelanggan.

 

Keadaan kewangan kumpulan turut terjejas berikutan kemungkiran perjanjian kewangan oleh anak syarikatnya di Kemboja, OPL, melibatkan kemudahan pinjaman berjangka berjumlah RM198.7 juta, yang menyebabkan pembiayaan berkenaan diklasifikasikan sebagai liabiliti semasa.

 

"Bagaimanapun, pihak pembiaya sudah memberikan pengecualian terhadap pelanggaran kovenan itu dan bersetuju dengan jadual pembayaran balik baharu, membolehkan OPL meneruskan bayaran pinjaman seperti biasa," jelas Pestec merujuk kepada prestasi tahun kewangan 2026 (FY26).

 

Dalam perkembangan lain, kumpulan turut berdepan tuntutan timbang tara berjumlah RM28.39 juta oleh Syarikat Pembenaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd (SPYTL) berkaitan projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru, selain petisyen penggulungan Pestec Sdn Bhd oleh sebuah entiti dari China.

 

Di sebalik tekanan tersebut tambahnya, kumpulan berkenaan masih mampu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM90.06 juta bagi FY26, berbanding kerugian bersih yang mencecah RM339.52 juta dalam tempoh kewangan 18 bulan sebelumnya.

 

Pestec_DagangNews2026

 

Namun, pemulihan itu sebahagian besarnya didorong keuntungan sekali sahaja sebanyak RM201.9 juta susulan Skim Aturan Prapakej, yang membolehkan Pestec menyelesaikan hutang tertunggak RM267 juta dengan pihak bank melalui bayaran tunai kira-kira RM65 juta.

 

"Penyelesaian hutang itu turut disokong penerbitan terhad 231.79 juta saham biasa baharu pada harga RM0.12 sesaham, yang dimuktamadkan pada 13 Jun 2025 dan menjana hasil tunai RM27.81 juta untuk melunaskan pinjaman tertentu serta membiayai modal kerja," katanya.

 

Lembaga pengarah kekal yakin terhadap prospek kumpulan, disokong bantuan kewangan berterusan daripada syarikat induk utamanya, Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd, selain jangkaan aliran tunai yang lebih baik daripada projek infrastruktur tenaga solar berskala besar (LSS) di Kemboja.

 

Bagi FY26, Pestec mencatat pendapatan RM291.15 juta, dengan segmen kejuruteraan, perolehan, pembuatan, pembinaan dan pentauliahan (EPMCC) menjadi penyumbang utama sebanyak RM289.75 juta kepada hasil luaran.

 

Walaupun kembali mencatat keuntungan selepas penstrukturan hutang, kumpulan masih perlu menangani tekanan kecairan, isu kontrak Iraq, tuntutan undang-undang serta kemungkiran kovenan bagi memulihkan kedudukan kewangan dan meyakinkan pelabur terhadap kelangsungan operasi jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved