
PETALING JAYA: Hartalega Holdings Berhad (Hartalega), mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 38 peratus kepada RM102 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 daripada RM74 juta yang diperolehi tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kuan Mun Leong berkata, walaupun persekitaran operasi kekal mencabar, terdapat tanda-tanda menggalakkan keadaan yang bertambah baik secara beransur-ansur sambil inventori pelanggan kembali normal dan permintaan pulih.
“Kekuatan asas jangka panjang industri disokong oleh keperluan penjagaan kesihatan yang terus meningkat dan kesedaran yang lebih tinggi tentang kebersihan di peringkat global.
“Pada masa yang sama, perkembangan geopolitik, perubahan dasar perdagangan, lebihan kapasiti dan persaingan sengit terus mencorakkan tahap pemulihan.
“Walaupun perkembangan ini mungkin menimbulkan peluang bagi para pengeluar Malaysia, kami juga prihatin tentang ketidakstabilan berterusan dalam kos bahan mentah dan logistik,” katanya.
Keuntungan lebih tinggi itu dipacu terutamanya oleh penggunaan kilang yang lebih tinggi, peningkatan kecekapan berlandaskan automasi dan pengurusan kos berdisiplin, walaupun menghadapi cabaran berterusan dalam industri sarung tangan.
Kumpulan meneruskan momentum tersebut pada suku pertama berakhir 30 Jun 2026 dengan mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM70 juta berbanding RM12 juta pada suku tahun yang sama tahun lepas, manakala hasil meningkat sebanyak 10 peratus kepada RM606 juta.
Prestasi itu dipacu oleh harga jualan purata lebih tinggi dan usaha mengoptimumkan kos secara berterusan, yang membantu menangani kesan jumlah jualan yang lebih rendah dan tekanan harga yang berlarutan.
Mun Leong berkata, syarikat itu memberi tumpuan untuk mengukuhkan daya saing dan terus meningkatkan kecekapan menerusi automasi dan teknologi, sambil mengukuhkan kedudukan pasaran.
“Berbekalkan kekuatan sedia ada dan rekod pencapaian terbukti dalam industri sepanjang tempoh hampir 40 tahun, kami yakin terhadap keupayaan kami untuk mengharungi pasaran yang kian berubah dan merebut peluang yang mendatang,” ujarnya. – UTUSAN
The post Untung bersih Hartalega naik 38 peratus appeared first on Utusan Malaysia.






