
KOLEJ Tingkatan Enam Hulu Terengganu (HUTECS) melaksanakan pilihan raya pelajar bagi memilih barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Exco bagi sesi 2026/2027.
Pemilihan yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya di HUTECS itu memberi peluang kepada 311 pelajar kolej berkenaan merasai sendiri proses pengundian yang dilaksanakan berlandaskan amalan demokrasi sebenar.
Pengetua HUTECS, Dr. Mohd. Saidi Yusof berkata, pelaksanaan pilihan raya itu penting bagi memberi pengalaman secara langsung kepada pelajar terhadap perkara yang dipelajari dalam subjek Pengajian Am khususnya berkaitan demokrasi dan pilihan raya.
“Pilihan raya ini amat penting kerana pelajar bukan sahaja mempelajari teori dalam kelas tetapi mereka dapat melihat dan merasai sendiri bagaimana proses pilihan raya dijalankan.
“Melalui pengalaman ini, mereka lebih memahami kepentingan undi, proses pemilihan pemimpin dan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.
Menurutnya, seramai 311 pelajar terlibat dalam proses pengundian selain 64 guru dan 15 kakitangan sokongan yang membantu memastikan pelaksanaan pilihan raya di kolej itu berjalan lancar.
Dalam pemilihan itu, calon Majlis Tertinggi MPP, Nurman Aiman Abdullah, 18, dipilih sebagai Yang Dipertua (YDP) MPP selepas memperoleh 274 undi menewaskan dua calon lain.
Sementara itu, Marissa Damia Yaumi, 18, pula memenangi jawatan Timbalan YDP selepas memperoleh 147 undi.
Nurman berkata, pengalaman sepanjang tempoh berkempen memberi pengalaman baharu kepadanya apabila perlu berdepan pelbagai reaksi daripada rakan-rakan yang juga merupakan pengundi.
Menurutnya, walaupun kempen hanya dijalankan dalam persekitaran kolej, dia tetap merasakan tekanan untuk meyakinkan pengundi dan membuktikan dirinya mampu memikul tanggungjawab sebagai pemimpin pelajar.
“Sepanjang berkempen, ada yang menyokong dan ada juga yang memberikan teguran atau kritikan terhadap saya. Pada awalnya mungkin terasa sedikit tetapi saya anggap semua itu sebagai sebahagian daripada proses untuk kami belajar.
“Daripada situ saya belajar bahawa apabila kita menawarkan diri sebagai pemimpin, kita perlu bersedia menerima pandangan orang lain termasuk kritikan dan tidak boleh hanya menerima pujian,” katanya.
Nurman berkata, antara pengalaman yang paling bermakna adalah apabila dia perlu berkomunikasi dengan pelajar yang mempunyai pandangan berbeza serta menjelaskan visi dan perkara yang ingin dibawanya sekiranya dipilih.
“Pengalaman itu mengajar saya untuk lebih yakin bercakap, mendengar pandangan orang lain dan pada masa sama menghormati keputusan pengundi.

“Kemenangan ini bukan bermakna semua perkara sudah selesai, sebaliknya ia menjadi amanah untuk saya membuktikan bahawa kepercayaan yang diberikan itu berbaloi,” katanya.
Sementara itu, Marissa berkata, tempoh berkempen turut mengajarnya bahawa menjadi calon bukan sekadar mendapatkan undi tetapi juga perlu bersedia berdepan pelbagai pandangan daripada pengundi.
Katanya, terdapat rakan yang menyokong usaha mereka, namun ada juga yang mempersoalkan kemampuan dan memberikan komen yang dianggap sebagai kritikan terhadap calon.
“Walaupun ini hanya pilihan raya di sekolah, pengalaman berkempen tetap mencabar kerana kita perlu berhadapan dengan rakan sendiri yang menjadi pengundi.
“Ada yang memberikan sokongan, tetapi ada juga yang mengkritik atau mempersoalkan kemampuan kita. Saya cuba melihat perkara itu secara positif kerana setiap pandangan boleh membantu kita memperbaiki diri,” katanya.
Menurutnya, pengalaman itu turut mengajarnya supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan dengan komen negatif, sebaliknya terus fokus kepada perkara yang ingin dibawa kepada pelajar.
“Saya belajar bahawa kita tidak boleh mengharapkan semua orang bersetuju dengan kita. Yang penting, kita perlu tahu apa yang ingin diperjuangkan dan menghormati hak setiap pengundi untuk membuat pilihan.
“Apabila akhirnya mendapat kepercayaan sebagai Timbalan YDP, saya rasa lebih bertanggungjawab kerana undi yang diberikan itu datang bersama harapan daripada pelajar lain,” katanya.
Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Tingkatan Enam Negeri Terengganu bagi sesi 2026/2027 itu turut dilaksanakan di 45 Pusat Pengundian Tingkatan Enam di seluruh negeri dengan membabitkan 4,681 pelajar tingkatan enam semester satu dan semester tiga.
Proses pemilihan itu dijalankan di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan bimbingan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) serta kerjasama strategik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Terengganu.
Wakil yang dipilih di peringkat Pusat Tingkatan Enam (PTE) seterusnya akan membawa mandat murid ke peringkat daerah, negeri dan kebangsaan bagi membentuk barisan kepimpinan utama Perwakilan Tingkatan Enam Kebangsaan.
The post HUTECS laksana pilihan raya pilih kepimpinan MPP appeared first on Kosmo Digital.





